KULAI, 11 SEPT: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tsee meminta Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad memberikan penjelasan berhubung syarat sokongan kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai syarat untuk menjadi ketua masyarakat di negeri ini.
Jimmy, bekas Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor berkata, sokongan tertentu seperti itu tidak pernah berlaku ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
“Salah satu syarat untuk sesiapa yang beraspirasi untuk menjadi ketua masyarakat adalah untuk menandatangani satu surat akujanji mengistiharkan kesetiaan kepada Datuk Seri Azmin Ali
“Apa kaitan Azmin dengan negeri Johor” Kalau tanda tangan untuk kesetiaan kepada Tuanku Sultan Johor, tak ada masalah.
“…atau pun tanda tangan untuk MB Johor OK, saya boleh terima. Tapi siapa Azmin ini? Mengapa perlu isytiharkan kesetiaan kepada beliau? menurut Jimmy dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu Jimmy turut meminta Exco berkaitan pelantkan ketua masyarakat di negeri Johor untuk memberikan penjelasan.
Untuk rekod, jawatan bagi portfolio berkenaan, iaitu Kerajaan Tempatan kini disandang Ayub Jamil, Adun Rengit.
“Maka atas kesetiaan saya sebagai anak Johor, saya mendesak Menteri Besar untuk memberi jawapan yang benar kepada dewan yang mulia ini.
“Adakah surat kesetiaan kepada Azmin Ali ini adalah syarat baru atau prosedur operasi standard (SOP) baru dalam lantikan ketua masyarakat di Johor?
“Sekiranya tidak, mengapa Exco ini boleh berbuat demikian. Apa tindakan Menteri Besar terhadap tindakan sebegini yang telah mencabar kedaulatan Johor dan memalukan nama kerajaan ini,” ujarnya lanjut.
Johorkini