BM | EN | 中文

SMK Senai Pendidikan Khas juarai video #RukunNegaraHour

Senai.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Video berdurasi tiga minit memaparkan penglibatan guru dan 20 pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senai, Johor menterjemahkan pengertian Rukun Negara, berjaya menambat hati juri dalam pertandingan #RukunNegaraHour kendalian Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

SMK Senai muncul pemenang utama dengan membawa pulang hadiah TV 49 inci tajaan Shopee yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarang (Berita) Bernama Abdul Rahman Ahmad kepada guru sekolah berkenaan Norizan Mohamed.

Penolong penerbit #RukunNegaraHour Afnan Afiq Alias berkata video berkenaan mempunyai keunikan tersendiri yang memaparkan kerjasama antara guru dan pelajar seiring dengan prinsip Rukun Negara.

Advertisement

“Kita nampak penerapan nilai murni yang cuba ditonjolkan oleh para guru kepada pelajar-pelajar dan cara guru mengajar elemen-elemen Rukun Negara dalam bahasa isyarat,” katanya.

Hampir 300 penyertaan diterima pada pertandingan itu yang diadakan dalam siaran khas ‘Rukun Negara Hour’ di Bernama TV dan Bernama Radio pada 16 Sept lalu bagi menyemarakkan sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara serta meraikan Hari Malaysia.

Peserta perlu memuat naik foto atau video bercirikan pengertian Rukun Negara di Facebook, Twitter atau Instagram dengan tanda pagar #RukunNegaraHour dalam tempoh siaran khas itu dari 9 hingga 11 pagi.

Advertisement

Sementara itu, Norizan berkata pelajar sentiasa diterapkan dengan aspek cintakan negara, dan diajar nilai-nilai Rukun Negara dalam proses pembelajaran.

“Sebagai guru, saya menekankan aspek displin kerana disiplin adalah kunci utama bagi memastikan pelajar memahami apa yang diajar oleh guru termasuk membolehkan mereka mendalami nilai-nilai yang digariskan dalam Rukun Negara,” katanya.

Selain itu, pertandingan tersebut turut menyaksikan 27 pemenang lain yang menghantar penyertaan menerusi laman sosial, serta tujuh pemenang lagi dipilih semasa siaran langsung program berkenaan.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top