BM | EN | 中文

Situasi meruncing, sektor ekonomi rakyat perlu dibuka segera – Penganalisis ekonomi UPM

bazar-karat-johor-bahru.jpg

Gambar Hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Kerajaan perlu mempertimbang pembukaan sektor tertentu secepat mungkin, bagi menyelamatkan ekonomi rakyat yang semakin meruncing ketika ini.

Penganalisis ekonomi daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata ia selaras kedudukan Malaysia yang turun 35 anak tangga ke kedudukan ke-51 daripada 53 negara dalam Indeks Daya Tahan COVID Bloomberg, bulan lalu.

Katanya, indeks itu menunjukkan realiti kedudukan ekonomi peniaga, pekerja dan isi rumah di Malaysia yang bertambah buruk, dan akan terus meruncing jika proses pembukaan ekonomi kekal perlahan seperti ketika ini.

Advertisement

Meskipun kerajaan melaksanakan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), beliau berpandangan ia hanya bersifat sementara dan tidak boleh menampung keseluruhan keperluan ketika ini.

“Melihat situasi sekarang, adalah menjadi keperluan bagi kerajaan mempertimbang untuk membuka lebih banyak sektor ekonomi bagi mengelak keadaan meruncing, dengan kadar kehilangan pekerjaan dan pendapatan yang semakin tinggi ketika ini.

“Keutamaan perlu diberikan kepada beberapa sektor ekonomi, antaranya sektor yang berorientasikan buruh kerana sektor ini menggajikan ramai pekerja dan apabila perniagaan dibuka, ramai pekerja akan mendapat pekerjaan.

Advertisement

“Selain itu, sektor ekonomi yang menggaji ramai pekerja B40 dan M40 yang terjejas teruk, serta sektor ekonomi yang bukan asas tetapi tidak membabitkan interaksi ramai orang seperti nelayan, pemandu lori tanah dan lain-lain.

“Turut perlu dipertimbangkan adalah sektor ekonomi di negeri, daerah dan kawasan yang merekodkan kadar jangkitan rendah dan terkawal,” katanya, lapor BH Online.

Beliau mengulas laporan kedudukan Malaysia dalam Indeks Daya Tahan COVID 2021 oleh Bloomberg, yang merudum ke tangga 51 daripada 53 negara pada bulan lalu berbanding di kedudukan ke-16 pada Januari, atas faktor kemajuan pembukaan semula ekonomi yang perlahan.

Advertisement

Kelmarin, kolumnis ekonomi Asia Bloomberg, Daniel Moss, mendakwa Malaysia yang kini bergelut mengatasi isu sosial, ekonomi dan politik, berisiko bergerak menjadi negara yang gagal.

Mohd Yusof berkata, kedudukan Malaysia merudum disebabkan beberapa petunjuk utama, khususnya sekatan pergerakan di negeri yang menjadi tunjang ekonomi Malaysia seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor, selain kapasiti penerbangan yang belum pulih.

Katanya, penanda aras dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga tidak seimbang kerana tiga indikator digunakan iaitu kes harian COVID-19, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan peratus penerimaan vaksin, hanya terarah kepada aspek kesihatan.

Advertisement

Beliau menegaskan, indikator ekonomi seperti kadar kehilangan pekerjaan, pengurangan pendapatan dan penutupan operasi perniagaan adalah sama penting dalam memantau ‘kesihatan’ ekonomi.

“Keadaan semasa menunjukkan langkah ‘mengurung’ rakyat tidak lagi berkesan, malah mendatangkan lebih banyak implikasi, sekali gus kita perlu memberi keutamaan dengan membuka sektor ekonomi.

“Pembukaan ekonomi bukan sahaja dapat bantu mempercepatkan pemulihan ekonomi, malah memberi peluang dan ruang untuk rakyat memperbaiki hidup,” katanya.

Advertisement

Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top