BM | EN | 中文

Sistem MyUPU elak tawaran bertindih

IMG-20200215-WA0019.jpg

JOHOR BAHRU, 16 FEB: Permohonan pelajar lepasan SPM ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) akan diselaraskan melalui sistem dalam talian MyUPU.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, MyUPU diperkenalkan buat pertama kali bagi sesi akademik 2020-2021 dan pelajar hanya akan membuat satu permohonan untuk melanjutkan pengajian ke program asasi, matrikulasi, diploma, sarjana muda atau sijil.

“Tujuannya adalah untuk mengelakkan daripada berlaku penawaran bertindih.

“Kalau dahulu, melalui UPU, seseorang itu akan mendapat tawaran, tetapi dalam masa sama pelajar itu membuat permohonan kepada kolej matrikulasi yang membuatkan mereka mendapat dua atau tiga tawaran.

“Akhirnya kita ada tempat yang disediakan tetapi tidak diisi. Melalui permohonan tunggal ini, kita dapat memaksimakan tampat sedia ada supaya lebih ramai pelajar berpeluang untuk masuk ke IPTA,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sebanyak kira-kira 10,000 tempat ke IPT tidak diisi pada tahun lalu berikutan ramai pemohon yang menerima tawaran bertindih.

“Ini sangat merugikan kerana ada pemohon yang tidak menerima tawaran langsung. Kita boleh elak daripada situasi seorang pelajar itu dapat dua atau tiga tawaran,” katanya lanjut.

Sementara itu, Nie Ching turut memberitahu, terdapat kira-kira 135,000 peluang melanjutkan pelajaran ke semua IPT bagi tahun 2020 dan pihaknya berharap agar kesemua tempat tersebut diisi.

Ahli Parlimen Kulai itu turut mengingatkan pemohon untuk sentiasa mengikuti perkembangan, membuat semakan melalui laman web dan memuatturun aplikasi UPU Pocket bagi mendapatkan maklumat dan informasi yang diperlukan.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top