JOHOR BAHRU, 1 OKT: Sistem Kewangan Islam bukanlah sesuatu yang asing bagi Johor yang telah lama memanfaatkan sistem tersebut untuk menjana ekonomi tempatan, kata Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
“Pada masa ini, terdapat 560 cawangan bank di Johor dan 84 daripadanya adalah institusi perbankan Islam.
“Johor mempunyai rangkaian ejen perbankan (Islqm) terbesar di Malaysia dengan jumlah 753 ejen bank,” katanya.
Dr Sahruddin berkata demikian semasa menyempurnakan Program Islamic Finance Rendezvous Series 2019 di Hotel Grand Paragon, di sini, hari ini.
Hadir sama; Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.
Dalam pada itu, Sahruddin yang merupakan Adun Bukit Kepong berkata, program Wakaf Dana Niaga dibawah kendalian Johor Corporation Berhad telah berjaya membantu seramai 413 usahawan berskala kecil di seluruh negeri.
“Bantuan itu termasuklah untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka dengan kemudahan pembiayaan berjumlah RM943,300 sehingga tahun 2018,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan Johor juga berada pada kedudukan yang kukuh untuk menjadi hab halal negara, dengan jumlah syarikat halal yang kedua terbesar di Malaysia iaitu sebanyak 552 syarikat.
“Sektor halal merupakan sektor penting yang telah dikenalpasti dalam Belanjawan Johor 2019,” katanya.
Mengulas tentang program hari ini, Dr Sahruddin berkata ia dapat memberi pendedahan mengenai kepelbagaian instrumen dan solusi kewangan Islam yang boleh memenuhi keperluan para usahawan dan perniagaan.
“Selain itu, di platform ini juga kita mahu mencerminkan iltizam industri kewangan Islam untuk terus mengukuhkan hubungan perniagaan dengan usahawan halal di Johor,” katanya lagi.
Johorkini