BM | EN | 中文

Sistem keadilan dilihat dua darjat jika hukuman keatas rakyat dan VIP berbeza

Hassan-Karim-Pasir-Gudang.jpg

"Saya percaya negara kita Malaysia walau buruk macam manapun keadaannya, ia masih sebuah negara yang ada undang-undang dan berjalan di atas landasan kedaulatan undang-undang (rule of law) dan juga keluhuran Perlembagaan," kata Hassan Karim (Gambar Ehsan The Star)

PASIR GUDANG, 23 OGOS: Sistem keadilan di negara ini berat sebelah dan diihat mengamalkan dua darjat sekiranya ada di kalangan VIP seperti menteri dan rakyat biasa dikenakan hukuman berbeza.

Ahli parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, demi keadilan dalam semangat kesamarataan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, setiap individu perlu melalui proses undang-undang yang sama.

Beliau merujuk kegagalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali mematuhi perintah wajib kuarantin Covid-19 selepas pulang dari luar negara.

“Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri akan dilihat berat sebelah dan menjalani keadilan dua darjat antara kesalahan rakyat biasa dan VIP jika beliau mengambil sikap berdiam diri terhadap perlakuan melanggar SOP oleh rakan menterinya sendiri.

“Begitu juga pihak Polis Diraja Malaysia PDRM perlulah segera membuka kertas siasatan sekiranya telah ada aduan polis dibuat ke atas Menteri berkenaan.

“Menteri tersebut perlu dipanggil untuk siasatan dan tindakaan selanjutnya perlulah segera dikemukakan kepada Pendakwa Raya untuk tindakan pendakwaan.

“Rakyat sedang memerhati sekarang setiap institusi yang terlibat,” kata Hassan dalam satu kenyataan semalam.

Khairuddin didakwa melanggar SOP Covid-19 selepas dikatakan membuat lawatan ke Turki pada 3 hingga 7 Julai dan kemudiannya hadir ke parlimen pada 13 Julai.

KKM kemudian mengenakan kompaun RM1,000 kepada Khairuddin setelah didapati bersalah menurut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Khairuddin juga akhirnya mengakui kesilapannya melanggar SOP Covid-19 dan menyatakan hasrat memulangkan empat bulan gajinya sebagai menteri.

Dalam pada itu kata Hassan, tidak seharusnya KKM dibebani tugas untuk menjawab bagi pihak menteri sedangkan kakitangan kementerian itu mempunyai banyak tugas lain yang lebih penting untuk menyelamatkan nyawa rakyat.

Malah kata Hassan, Perdana Menteri wajar membuat keputusan memecat menteri berkenaan atas kesalahaan tidak menghormati prinsip kebertanggunjawaban bersama para menteri (collective responsibility).

“Sebuah kerajaan akan runtuh bukan kerana hilang undi kepercayaan tetapi kerana seluruh anggota kerajaannya dijangkiti dengan Covid-19.

“Nahas yang bahaya itu tidak berlaku bukan bermakna menteri berkenaan terlepas dari kesalahan.

“Adalah terlebih baik dan mulia serta berintegriti sekiranya menteri tersebut memikul tanggungjawabnya.

“Beliau patut berdiri sebagai seorang lelaki dan sebagai seorang menteri mengaku bersalah, meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan meletakkan jawatannya secara terhormat,” kata Hassan lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top