BM | EN | 中文

Singapura minat sambung laluan pejalan kaki berbumbung di Tambak Johor – Exco

tambak-johor-air-terawat-dari-singapura.jpg

Gambar Fail

ISKANDAR PUTERI, 14 SEPT: Kerajaan Singapura berminat menyambung pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung di Tambak Johor yang dicadangkan kerajaan Malaysia bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan orang ramai di laluan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor Mohd Solihan Badri berkata hasrat tersebut disampaikan kepada beliau menerusi Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru, dua bulan lepas.

“Pertamanya, cadangan pembinaan laluan pejalan kaki sejauh 350 meter ini kita (kerajaan negeri Johor) sudah kemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan bajet.

“Pembinaan ini melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kerja Raya oleh kerana Tambak Johor diselenggara oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

“Kedua, cadangan ini disambut baik oleh Singapura menerusi Konsul Jeneral di Johor Bahru, yang berjumpa saya dan meminta kertas cadangan rekaan untuk pihaknya memberikan cadangan kepada kerajaannya untuk menyambung laluan tersebut,” katanya, lapor Bernama

Beiiau berkata demikian kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini semalam

Mohd Solihan berkata hasrat kerajaan Singapura itu menunjukkan bahawa republik berkenaan turut prihatin terhadap nasib pengguna jalan kaki di Tambak Johor, yang dianggarkan digunakan ratusan pengguna setiap hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19, dikuatkuasakan Mac lepas.

Katanya pada peringkat awal, kerajaan negeri Johor memohon peruntukan sebanyak RM15 juta bagi laluan pejalan kaki sahaja, namun, ia ditingkatkan menjadi RM30 juta awal tahun ini, selepas reka bentuk semula dilakukan dengan penambahan eskalator serta laluan berbumbung dilengkapi pendingin hawa.

“Jarak 350 meter ini adalah sehingga sebelum sempadan Singapura, namun, untuk pihak Singapura pula, saya tidak pasti dari mana sampai ke mana jaraknya. Untuk laluan bahagian kita, kos pembinaan adalah melalui Kementerian Kewangan dan pelaksanaanya oleh Kementerian Kerja Raya,” katanya.

Menurut Mohd Solihan, pejalan kaki sememangnya dilarang di Tambak Johor, namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa setakat ini.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top