BM | EN | 中文

Singapura, Malaysia perlu bincang iktiraf sijil vaksinasi antara kedua negara

Liew_Chin_Tong.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 29 APR: Malaysia dan Singapura perlu membincangkan pengiktiraftan sijil vaksinasi timbal balik di antara kedua negara, kata Senator Liew Chin Tong.

Pengerusi DAP Johor itu berkata, rakyat Malaysia, khususnya di negeri ini meletakkan harapan yang tinggi untuk perancangan pembukaan semula sempadan yang jelas.

Katanya, pertemuan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin bersama rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong pada lawatan rasmi ke pada 3 hingga 4 Mei ini diharap membincangkan isu berkaitan dengan pembukaan semula pusat kawalan sempadan.

Advertisement

“Saya berharap kedua-dua Perdana Menteri akan membincangkan pengiktirafan sijil vaksinasi timbal balik.

“Bagi meningkatkan kadar vaksinasi, salah satu syarat sebelum sempadan dibuka semula, kita perlu mempunyai sasaran tarikh dan tahap vaksinasi yang jelas untuk dicapai,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kenyataan Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad bahawa kerajaan Malaysia dan Singapura sedang dalam proses perbincangan mengenai pengurusan khas bagi membenarkan pekerja Malaysia di Singapura yang telah menerima vaksin di sana diberikan pas laluan hijau adalah satu perkembangan yang baik.

Advertisement

Ia bagi membolehkan rakyat Malaysia pulang ke rumah berjumpa dengan keluarga setelah hampir setahun berjauhan.

“Namun, masih tidak jelas sama ada pemvaksinan yang dilaksanakan di Malaysia akan diiktiraf untuk tujuan pas laluan hijau tersebut.

“Adakah mereka yang telah menerima suntikan vaksin di Malaysia dibenarkan untuk merentasi sempadan ke Singapura untuk bekerja?

Advertisement

“Apakah perbezaan aturan ‘laluan hijau’ berbanding aluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang dilaksanakan sebelum ini? soal Chin Tong.

RGL diperkenalkan pada 17 Ogos 2020 untuk memudahkan urusan penting perniagaan dan lawatan rasmi.

RGL membenarkan pemohon yang layak daripada sesuatu kategori yang ditetapkan untuk dikecualikan daripada kuarantin tertakluk kepada syarat-syarat tertentu dan pengecualian ini termasuk menunjukkan bukti keputusan negatif saringan COVID-19.

Advertisement

Namun pada 1 Februari lalu kerajaan Singapura mengumumkan penggantungan RGL selama tiga bulan selepas Malaysia mencatatkan kes COVID-19 tertinggi dengan 5,725 kes pada 29 Januari yang lalu.

“Tambak Malaysia-Singapura adalah antara sempadan yang paling sibuk di dunia dengan hampir 400,000 orang merentasinya setiap hari.

“Sekatan sempadan telah memberi kesan kepada ekonomi Johor, perniagaan tempatan dan ramai pekerja yang perlu merentasi sempadan untuk mencari rezeki di Singapura,” kata Chin Tong lagi.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top