BM | EN | 中文

Sindiket seleweng minyak masak bersubsidi RM15 juta di Johor tumpas

Sindiket-minyak-masak-johor-bernama-050521.jpg

Sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi bernilai RM15 juta tumpas dalam satu serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sebuah kilang perindustrian di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang semalam. (Gambar Ehsan Bernama)

Advertisement

JOHOR BAHRU, 5 MEI: Satu sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi bernilai RM15 juta tumpas dalam satu serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sebuah kilang perindustrian di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang kelmarin.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya Shamsul Nizam Khalil berkata, dengan tertumpasnya sindiket itu pihaknya percaya dapat melumpuhkan sindiket yang selama ini disyaki menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan minyak masak di pasaran.

“KPDNHEP mengesyaki bekalan minyak masak ini bagi tujuan eksport dan ini kes pertama dan terbesar tahun ini dapat dibongkar daripada kegiatan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi,” katanya, lapor Harian Metro.

Advertisement

Shamsul berkata, pihaknya mengesyaki minyak masak bersubsidi itu diperolehi daripada beberapa kilang pembungkus minyak masak secara sah di sekitar Lembah Klang, Perak dan Kedah yang memiliki lesen borong sah sebelum dibawa ke kawasan perindustrian di Pasir Gudang ini.

Kata beliau, siasatan awal dan risikan selama sebulan turut mendapati sindiket itu memindahkan minyak masak bersubsidi 1 kg ke tangki dengan cara memotong plastik ‘polybag’ dan memasukkan ke dalam mesin pengisar yang kemudiannya akan disalurkan ke tangki berkapasiti 1,000 liter setiap satu.

“Syarikat ini beroperasi sejak enam bulan lalu, dan dianggarkan antara 500,000 ke satu juta paket diselewengkan sebulan sepanjang tempoh itu dengan harga subsidi RM2.50, mereka mungkin dapat lebih murah sebab mereka pemborong,” kata beliau.

Advertisement

Katanya, dalam serbuan jam 2 pagi itu, KPDNHEP Putrajaya dibantu KPDNHEP Johor Bahru menahan seramai 15 lelaki termasuk lapan warga Nepal dan Bangladesh berusia 25 hingga 45 tahun.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati terdapat 15 jenama minyak masak daripada beberapa syarikat yang terbabit dengan kegiatan itu selain sudah mengenal pasti syarikat yang digunakan untuk menjalankan aktiviti membeli minyak masak dengan menggunakan lesen borong yang sah.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Advertisement

“Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

Katanya, satu kertas siasatan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 akan dibuka bagi menyiasat unsur jenayah kewangan, selain syarikat pembungkusan terbabit.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top