BM | EN | 中文

Sindiket ‘Rose Quartz’ tumpas, Polis rampas dadah bernilai RM1.58 juta

polis.jpg

JOHOR BAHRU, 13 SEPT: Polis percaya telah menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dikenali sebagai ‘Rose Quartz’ susulan penahanan enam lelaki tempatan dalam enam serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, Khamis lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua mereka yang berumur antara 39 dan 57 tahun ditahan dalam operasi khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan polis turut merampas pelbagai jenis dadah antaranya syabu (39.33 kilogram), ketamin (74.98 gram) serta serbuk ekstasi (20.92 gram) yang dianggarkan bernilai RM1.58 juta.

“Sindiket ini berjaya ditumpaskan hasil siasatan dan pemantauan polis selama dua bulan. Dadah ini dipercayai diperoleh dari utara semenanjung dan kemudian dibungkus di negeri ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, semalam.

Beliau berkata bagi mengaburi pihak berkuasa, kesemua dadah berkenaan dibungkus dan dilabel sebagai cendawan dalam tin sebelum diedar kepada pelanggan termasuk ke Sarawak serta pasaran antarabangsa dengan menggunakan perkhidmatan kurier.

Menurut beliau hasil saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek masing-masing positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin, manakala tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Polis turut merampas mesin yang digunakan untuk membungkus kesemua dadah terbabit dan sepucuk pistol angin. Turut disita, tujuh buah kereta dianggar bernilai RM982,800, dua utas jam tangan bernilai RM2,000, wang tunai RM172,051 serta mata wang Thailand berjumlah 13,000 baht,” katanya.

Kesemua suspek direman selama enam hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top