JOHOR BAHRU, 11 MEI: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang didapati menggunakan aplikasi Wechat bagi mencari pelanggan mereka di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, aplikasi itu digunakan kerana maklumat peribadi pengguna yang sukar dikesan.
Katanya, serbuan pertama dibuat pihaknya pada 5 Mei lalu di sekitar Johor Bahru berjaya menahan dua suspek bersama sejumlah dadah.
“Susulan penangkapan tersebut, polis telah melancarkan 11 serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, Seri Alam dan Iskandar Puteri.
“Ekoran itu, polis berjaya menahan seramai 26 suspek warga tempatan serta empat suspek warganegara asing. Kesemua suspek ditahan berusia antara 16 hingga 39 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah beliau, siasatan dibuat pihaknya juga mendapati sindiket tersebut mempunyai satu ‘group’ Wechat yang mempunyai seramai kira-kira 500 ahli.
“Kami juga tidak menolak antara pelanggan sindiket tersebut berkemungkinan terdiri daripada golongan muda termasuk pelajar, memandangkan aplikasi itu digunakan secara meluas oleh semua lapisan umur.
“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas membabitkan sindiket ini berjumlah RM454,215 manakala polis turut menyita pelbagai barangan kemas, kenderaan dan wang tunai berjumlah RM1.1 juta,” ujarnya.
Sementara itu, Ayob Khan turut memberitahu, dalam masa sama pihaknya turut menjalankan satu operasi berasingan di Muar pada 5 Mei lalu.
“Tangkapan pertama dibuat melibatkan sepasang suami isteri, sebelum empat serbuan susulan yang dibuat turut menahan enam lagi suspek termasuk seorang warganegara asing.
“Nilai rampasan dadah dalam kes ini berjumlah RM21,045 manakala barangan sitaan berjumlah RM364,380. Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 24 hingga 54 tahun,” katanya.
Kesemua suspek kini dikenakan reman selama tujuh hari manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Imigresen 1959/63.
Johorkini