BM | EN | 中文

Sindiket dadah guna kedai lampu hiasan sebagai samaran

IMG-20200615-WA0000.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 15 JUN: Satu sindiket pengedaran dadah yang menggunakan kedai lampu hiasan sebagai samaran untuk beroperasi antara dua sindiket ditumpaskan polis dalam beberapa siri serbuan dijalankan antara 2 Jun hingga 9 Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, menerusi 15 serbuan yang dijalankan, pihaknya berjaya menahan seramai 18 suspek termasuk seorang warganegara Singapura berusia antara 25 hingga 50 tahun.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan melibatkan dadah dan barangan sitaan berjumlah RM1.08 juta.

Advertisement

“Satu sindiket diketuai seorang individu dengan gelaran ‘handsome’ dikesan menggunakan perniagaan lampu hiasan sejak lapan tahun lalu sebagai samaran untuk menjalankan operasi pengedaran dadah mereka.

“Sementara itu, satu lagi sindiket diketuai seorang warganegara Singapura berusia 43 tahun turut ditumpaskan apabila seramai 12 ahli sindiket itu ditahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Advertisement

Tambah Ayob Khan, selain pelbagai jenis dadah bernilai RM49,781 dirampas, pihaknya turut menyita satu pucuk pistol tiruan beserta 29 butir peluru, 15 buah kenderaan, wang tunai berjumlah RM71,045, 18 akaun bank tempatan dengan jumlah wang sebanyak RM117,354 dan satu barangan kemas.

“Kesemua suspek kini dikenakan reman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

“Untuk makluman, sejak 1 Januari hingga 13 Jun tahun ini, polis Johor telah menangkap seramai 7,739 suspek atas pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan dadah sebanyak 866.65 kilogram bernilai RM17.47 juta,” ujarnya.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top