BM | EN | 中文

Sindiket Ahlong di Johor Bahru tumpas apabila tujuh anggotanya ditahan

Sindiket-Ahlong-di-Johor-Bahru-tumpas-dengan-penahanan-tujuh-anggota.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 3 NOV: Satu sindiket along yang aktif di bandar raya ini sejak tahun lepas berjaya ditumpaskan dengan penahanan tujuh anggotanya, hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata penahanan kesemua suspek lelaki berumur 21 hingga 25 tahun itu adalah hasil serbuan ke atas dua unit apartmen di Senibong, Permas Jaya, di sini, pada 7.45 pagi tadi.

Menurutnya, di unit apartmen pertama itu, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk wang tunai bernilai lebih RM9,000, nombor plat kereta palsu, tong cat, buku pinjaman, buku nota hutang dan kad sim nombor telefon Singapura.

Advertisement

“Di unit apartmen kedua, polis juga menemukan lebih RM3,000 wang tunai selain kad perniagaan, cat, telefon bimbit dan buku hutang.

“Mereka semuanya daripada satu sindiket sama yang aktif sejak tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas serbuan berkenaan bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Datuk Md Yusof Ahmad di Senibong, di sini, hari ini.

Ayob Khan menambah berdasarkan siasatan awal, kesemua anggota sindiket ini dibayar dengan gaji RM2,500 sebulan untuk menjalankan kerja-kerja along atau ceti haram termasuk mengugut mangsa.

Advertisement

Beliau juga tidak menolak kemungkinan masih terdapat saki-baki anggota sindiket berkenaan.

“Kita akan siasat lebih lanjut tentang itu nanti tetapi ini merupakan operasi ketiga yang dilancarkan ke atas sindiket along, sejak Januari seramai 49 individu telah ditahan dan 54 kertas siasatan dibuka dengan 27 daripadanya telah dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Md Yusof berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan membuat ugutan secara berperingkat bagi menakut-nakutkan mangsa yang membuat pinjaman dengan mereka.

Advertisement

“Pada peringkat awal, mereka akan menampal gambar mangsa di kediaman untuk memalukan mangsa, sebelum bertindak menyimbah cat merah.

“Sekiranya mangsa masih tidak membayar hutang, sindiket ini akan membakar bahagian pintu kediaman mangsa. Malah, ada antaranya juga turut bertindak mengunci pintu pagar kediaman mangsa,” katanya.

Md Yusof berkata kesemua suspek akan dipohon reman esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506, 427 dan 435/436 Kanun Keseksaan serta Seksyen 5(2) Akta Pemberian Pinjaman Wang 1951 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top