KUALA LUMPUR, 17 JUL: Pelbagai kempen dalam talian oleh Sime Darby Property dari 25 Mac hingga 5 Julai lepas telah meraih 740 tempahan untuk hartanah di Lembah Klang dan Johor bernilai RM680 juta.
Pembeli kebanyakannya dari Lembah Klang dan kawasan sekitar dan ada juga dari China, menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini.
Trafik di laman webnya tinggi sepanjang kempen tersebut, dengan purata lebih dua kali daripada jumlah biasa, walaupun galeri jualan ditutup atau beroperasi pada separuh kapasiti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kempen dalam talian yang pertama dan mendapat sambutan baik itu merupakan ‘Online Guided Sales Experience’ yang memberikan pengalaman jualan maya yang menyeluruh kepada pembeli rumah, daripada mencari prospek kepada tempahan melalui saluran digital.
Kempen tersebut menyediakan kit jualan dalam talian yang khusus untuk memberikan semua maklumat produk yang diperlukan kepada pembeli rumah; tinjauan produk 360° secara maya untuk melihat sesebuah unit itu dengan lebih baik; tempahan dan pembayaran dalam talian.
Dua kempen lain dilancarkan untuk memperkenalkan lebih banyak tawaran hebat untuk projek terpilih, memanfaatkan moratorium ke atas bayaran balik pinjaman selama enam bulan oleh kerajaan.
“Kempen dalam talian yang berjaya itu menunjukkan Sime Darby Property dapat melaksanakan pendigitalan dan menyesuaikan dengan landskap operasi yang berubah,” kata Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Azmir Merican.
Walaupun momentum jualan kukuh, syarikat akan melancarkan semula kempen ‘Spotlight 8’ mulai esok hingga 27 Sept.
Kempen ‘Spotlight 8’ pada tahun lepas menjual sebanyak 1,160 unit di kawasan Lembah Klang dengan mencapai jualan lebih RM1.1 bilion.
Bernama