BM | EN | 中文

Sikap pengotor segelintir pengunjung punca Taman Eco Rimba, Gunung Pulai ditutup

taman-eco-rimba-02.jpg

Taman Eco Rimba, Gunung Pulai ditutup susulan kes kencing tikus yang dikesan di pusat rekreasi tersebut.

KULAI, 13 FEB : Sikap segelintir pengunjung yang pengotor serta tiada kesedaran sivik dipercayai menjadi antara punca Taman Eco Rimba, Gunung Pulai, di sini ditutup susulan kes kencing tikus yang dikesan di pusat rekreasi tersebut.

Pengerusi Koperasi Sri Sekawan Kulai Bhd, Jamalludin Abdol Hamid berkata, pusat berkenaan baru sahaja dibuka sebulan selepas ditutup sejak Oktober hingga Disember tahun lalu.

Menurutnya, hampir setiap tahun pasti ada kes kencing tikus yang dikesan di kawasan itu, bagaimanapun hanya tahun lalu sahaja tidak ada kes tersebut.

Katanya, ia berikutan kawalan yang dilakukan pihak koperasi bersama badan bukan kerajaan (NGO) melalui usaha pembersihan dilakukan sehingga berjaya mengelakkan kes berkenaan.

“Belasan tahun kawasan ini ditutup kerana bencana lumpur. Ia dibuka semula pada September 2019 dan ditutup sementara oleh jabatan hutan pada hujung tahun.

“Kini baru sahaja sebulan dibuka kembali kawasan ini terpaksa ditutup kembali. Apa yang menjadi isu di sini adalah pengunjung datang membawa makanan dan tidak menjaga kebersihan.

“Meskipun terdapat papan tanda tidak dibenarkan membawa makanan pengunjung tidak endahkan. Bahkan kawasan tempat makan yang disediakan juga tidak digunakan sebaik mungkin,” katanya kepada Johorkini.

Jamalludin di Taman Eco Rimba, Gunung Pulai yang menjadi tumpuan pengunjung kerana keindahan alam semula jadinya.

Tambahnya, lebih menyedihkan terdapat sisa makanan yang ditinggalkan merata sehingga menjejaskan kebersihan kawasan itu.

Katanya, ada juga segelintir pengunjung yang bertanggungjawab membawa pulang sampah namun ada juga yang mencemarkan kebersihan sungai dengan mencuci kesan makanan di pinggir sungai tersebut.

“Pihak koperasi sudah banyak kali memberikan nasihat tentang soal kebersihan ini kepada pengunjung di sini namun hasilnya agak mengecewakan. Tolonglah jaga kebersihan jika datang ke kawasan ini.

“Jabatan kesihatan akan pantau dalam tempoh dua minggu ini. Jika tiada simptom kes itu maka tempat ini akan kembali dibuka jika sebaliknya notis penutupan akan dilanjutkan,”katanya lagi.

Beliau juga merayu kepada kerajaan negeri agar melihat kembali kaedah bagaimana untuk menstrukturkan semula kawasan rekreasi tersebut demi kebaikan semua pihak termasuklah para pengunjung.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top