Ikhwan Zulkaflee
KULAI, 7 OGOS: Jimi, seekor harimau comel dipilih sebagai maskot Sukan Malaysia ke-20 (Sukma 2020) yang bakal berlangsung pada Julai tahun hadapan.
Jimi diperkenalkan kepada umum dalam ‘Majlis Pelancaran Maskot dan Logo Sukma XX Johor 2020’ yang berlangsung di Hotel Impiana, Senai, hari ini.
Dalam ucapannya, Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata Johor telah bersedia menyambut kehadiran atlet-atlet yang akan bertanding dalam kejohanan dwi-tahunan tersebut.
“Sesungguhnya, suka saya melihat kemajuan persiapan yang telah dirancang oleh kerajaan negeri melalui Sekretariat Sukma Johor 2020 dan juga Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor bagi menggerakkan penganjuran temasya sukan ini.
“Saya amat berharap komitmen yang ada ini dapat diteruskan agar temasya sukan ini menjadi satu lagi detik bersejarah dalam bidang sukan serta membanggakan seluruh Bangsa Johor amnya selain daripada kecemerlangan pasukan kebanggaan kita iaitu JDT (Johor Darul Ta’zim),” kata Dr Sahruddin.
Dalam pada itu, Dr Sahruddin turut memuji Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) yang disifatkannya sebagai pendokong besar penganjuran Sukma XX ini, dengan anak syarikatnya Sports Johor Sdn. Bhd merupakan penganjur utama pengelolaan kejohanan tersebut.
“Kali terakhir Johor menganjurkan Sukma adalah pada tahun 1992. Namun yang demikian, saya percaya dengan adanya penglibatan melalui kepakaran syarikat berkaitan kerajaan negeri ini, sudah pasti jangkaan penganjuran yang bermutu tinggi akan diperoleh dan terlaksana,” katanya lagi.
Turut diperkenalkan hari ini ialah logo Sukma 2020 yang bertemakan tulisan khat huruf ‘jim’ yang dapat dilihat pada obor logo tersebut.
Johorkini