BM | EN | 中文

Sheikh Umar tanding semula di DUN Paloh

sheikh-umar-bagharib-ali.jpg

KLUANG, 4 FEB: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali dicalonkan semula sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

PH dalam satu kenyataan memaklumkan, Sheikh Umar telah dicalonkan berdasarkan kredibiliti selain menjadi calon pertama pembangkang yang memenangi kerusi itu sejak DUN N30 Paloh diwujudkan.

“Sebagai individu yang penuh semangat dan idealisma, Sheikh Umar telah menyertai parti politik pada usia muda.

“Setelah bertugas sebagai Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong pada tahun 2014 hingga 2017, Sheikh Umar telah diamanahkan oleh DAP untuk bertanding di kerusi DUN Paloh pada pilihanraya umum tahun 2018.

“Langkah yang diambil telah memenangkan satu-satunya kerusi ‘belum menang’ DAP pada PRU-13 yang lalu. Kemenangan Sheikh Umar telah menyumbang kepada Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan negeri Johor,” menurut kenyataan tersebut.

Sheikh Umar merupakan Naib Pengerusi DAP Negeri Johor, Pemuda DAP negeri dan juga Ketua Penerangan Pakatan Harapan Johor.

Beliau juga merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Malaya.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan, Sheikh Umar telah diamanahkan sebagai Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi, Ekonomi Kreatif, Penerangan, Belia dan Sukan Johor.

“Beliau sangat menitikberatkan hal ehwal serta ‘survival’ ekonomi anak-anak muda. Antara inisiatif baru yang beliau bawa termasuklah mewujudkan Geran Orang Lokal (GOL) untuk usahawan kecil serta program EK (Ekspresi Komuniti / Ekonomi Kreatif) sebagai platform membangun, menggalakkan serta memberikan sokongan kepada aktiviti-aktiviti anak muda.

“Selain itu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjayakan Sukan Malaysia(SUKMA) yang dijadualkan berlangsung di Johor pada tahun 2020.

“Sheikh Umar adalah tawaran terbaik Pakatan Harapan bagi kerusi N.30,” tambah kenyataan itu lagi.

DUN N30 Paloh terdiri daripada komposisi dengan pengundi sekitar 47 peratus Melayu, 37 peratus Cina, 15 peratus India dan satu peratus Orang Asli.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top