JOHOR BAHRU, 2 SEPT: Kritikan bekas menteri besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terhadap pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan bersifat selektif dengan mencari kesalahan dalam segala keputusan dibuat kerajaan hari ini.
Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata Khaled lebih gemar mencari publisiti murahan daripada berusaha membantu menyelesaikan “bala yang dibariskan kerajaan BN (Barisan Nasional) yang sedang membelenggu kerajaan PH sejak memerintah 15 bulan yang lalu.”
Tambahnya, Khaled memilih untuk menutup mata dan enggan mengiktiraf usaha kerajaan PH mengeluarkan Malaysia dari kleptokrasi peninggalan UMNO dan hanya ghairah menyerang tanpa menerima fakta dan hakikat perkembangan negara.
Sheikh Umar, yang juga merupakan Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Johor, mengambil contoh kejayaan kerajaan PH mengurangkan hutang negara melalui rasionalisasi kos projek mega seperti projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Transit Aliran Massa 2 (MRT2) dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
“Khaled enggan menerima hakikat bahawa kos projek ECRL telah dapat dijimatkan sebanyak RM25.1 billion hasil rundingan semula kerajaan PH dengan pihak China.
“Khaled juga enggan menyebut, apatah lagi bersyukur bilamana kos projek MRT2 dapat menjimatkan wang rakyat sebanyak RM8.8 billion. Khaled juga tak mahu menyebut bahawa kos projek LRT3 juga berjaya dijimatkan oleh kerajaan PH sebanyak RM15 billion.
“Semua fakta-fakta ini tidak ada nilai bagi seorang pemimpin seperti Khaled. Beliau lebih ghairah melihat dari dalam tempurung, seolah-olah PH ini terlalu naif untuk mentadbir. Selektif sekali pemikiran Khaled. Kasihan,” Sheikh Umar berkata menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Exco kerajaan negeri Johor merangkap Adun Paloh, mengulas kenyataan Khaled yang menyifatkan slogan ‘Malaysia Baharu’ hanyalah retorik politik selain menyarankan supaya pemimpin DAP, Lim Kit Siang, untuk berundur dari arena politik tanah air.
Menurut Sheikh Umar, Khaled harus membersihkan nama UMNO terlebih dahulu sebelum menggesa Kit Siang supaya berundur dari politik ketika ahli parlimen Iskandar Puteri tersebut tidak terpalit dengan sebarang skandal.
Tambahnya lagi, Khaled, yang juga naib presiden UMNO, serta penyokong parti tersebut boleh melihat sendiri kepada senarai kes skandal-skandal di mahkamah yang menunggu untuk dibicarakan yang melibatkan pimpinan kanan serta individu berkait dengan parti tersebut.
Beliau juga meminta Khaled berlapang dada dengan usaha kerajaan PH, termasuk kejayaan menggubal rang undang-undang membolehkan anak muda mengundi seawal usia 18, selain menjadi pengundi berdaftar secara automatik.
“Tak perlu susah-susah lagi semacam zaman Khaled dulu. Bukan itu sahaja, malah anak-anak muda kini boleh menjadi calon bagi memimpin parti dan rakyat. Mereka inilah yang akan menggantikan pemimpin-pemimpin haprak UMNO yang lain.
“Ini satu perkara paling asas dalam demokrasi yang tidak pernah mampu dibuat oleh UMNO sejak 62 tahun memerintah negara, saya ulangi – 62 tahun, bukan 15 bulan. Bayangkanlah Khaled, mengapa benda paling asas ini pun kalian dan rakan-rakan ketika berkuasa, gagal menunaikannya. Kemudian, dituduh pula kerajaan PH hanya retorik. Retorik apa Datuk Seri?”
Khaled turut digesa supaya melihat kepada tindak-tanduk kerajaan PH ke arah menuju ‘Malaysia Baharu’ dengan memastikan kerajaan diurus dengan baik atas prinsip ‘good governance’, antara lainnya termasuk usaha memerangi dan membanteras gejala rasuah dengan memperkenalkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 -2023.
“Justeru, ada baiknya Khaled berlaku adil kepada diri dan parti beliau sendiri. Itu sahaja nasihat kecil daripada saya insan kerdil ini. Saya tak minta pun Datuk Seri Khaled bersara.”
Johorkini