BM | EN | 中文

SHEIKH UMAR: BERITA BAIK BAGI ‘BADANG-BADANG’ KITA

angkat-berat.jpg

JOHOR BAHRU, 20 SEPT: Keputusan untuk menyenaraikan sukan angkat berat dalam Sukan Malaysia Johor 2020 (Sukma XX Johor 2020) disambut baik Exco Sukan dan Belia negeri Sheikh Umar Bagharib Ali.

Sheikh Umar berkata keputusan tersebut pastinya mengembirakan atlet sukan angkat berat yang telah giat berlatih menyiapkan diri untuk bertanding di Sukma nanti.

“Kita mengalu-alukan pengumuman menteri, dan ini juga pastinya perkara yang ditunggu-tunggu atlet angkat berat yang telah banyak berkorban untuk berada pada tahap terbaik untuk bersaing dalam Sukma.

“Saya pasti ‘badang-badang’ kita nanti tidak akan melepaskan peluang memberikan persembahan yang terbaik dalam kejohanan Sukma nanti,” katanya apabila dihubungi Johorkini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma Johor 2020  yang mengumumkan acara itu akan kembali dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020.

Keputusan yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tersebut dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa Sukma XX Johor 2020  di Menara KBS, semalam.

“Kami telah mencapai kata sepakat untuk memasukkan sukan angkat berat dalam Sukma Johor sebagai salah satu sukan pilihan atas perkembangan positif sukan berkenaan yang berjaya membersihkan nama mereka dan tidak lagi dikaitkan dengan masalah doping. Sebelum ini, sukan tersebut tidak dimasukkan dalam Sukma Johor kerana doping.

“Bagaimanapun, ujian saringan sebelum beraksi dalam Sukma Johor bagi setiap sukan, termasuk angkat berat, akan diteruskan seperti tahun terdahulu,” Syed Saddiq dipetik dalam laporan Bernama.

Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) sebelum ini turut mengesahkan bahawa keputusan doping bagi lima atlet angkat berat kebangsaan –  Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, Muhammad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat, Mohd Yusoff Nandong dan Nur Atika Mahamad Sobri – yang juga atlet dibawah Program Podium, adalah negatif.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top