ISKANDAR PUTERI, 27 NOV: Ahli parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang membangkitkan persoalan sama ada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan meminda Belanjawan 2021 selepas ahli-ahli parlimen pembangkang tidak mengadakan undi belah bahagi di Dewan Rakyat semalam.
Veteran DAP itu berkata, ini memandangkan titah Yang di Pertuan Agong yang menasihati ahli-ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 ini susulan situasi semasa wabak Covid-19 di Malaysia.
Katanya, titah itu menjadi lebih penting kepada ahli-ahli parlimen untuk memberikan Menteri Kewangan lebih banyak masa sehingga bacaan ketiga RUU Perbekalan pada 15 Disember nanti untuk membuat perubahan dan pindaan yang berpatutan.
Ia katanya bagi menjadikan Belanjawan 2021 ini satu “Belanjawan Perpaduan” yang menyatupadukan semua rakyat Malaysia untuk mengharungi wabak Covid-19 ini.
“Atau, adakah beliau (Menteri Kewangan) akan terus kekal untuk berdegil dan bersikap anti-perpaduan dengan tidak meminda Belanjawan ini? kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Kit Siang, Menteri Kewangan telah melibatkan ahli-ahli parlimen Pembangkang sebelum pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November, tetapi beliau tidak ada berunding dengan pembangkang selepas pembentangan belanjawan.
“Adakah beliau akan berunding dan melibatkan ahli-ahli parlimen pembangkang sebelum bacaan ketiga RUU Perbekalan ini pada 15 Disember kelak? soal Kit Siang lagi.
Beliau turut menjelaskan terdapat salah faham berhubung usul undi belah bahagi semalam oleh ahli-ahli parlimen pembangkang yang dikatakan tewas dengan desakan dan mengundi untuk menyokong Belanjawan 2021.
“Perkara ini tidak benar, memandangkan ahli parlimen pembangkang, termasuklah mereka yang berdiri memohon supaya belah bahagi dilakukan.
“Kesemuanya telah mengundi membantah Belanjawan 2021, tetapi undian ini dilakukan melalui suatu undian suara yang lantang mengatakan tidak kepada Belanjawan ini, dan bukannya melalui belah bahagi di mana setiap ahli parlimen mencatatkan undian mereka sebagai bersetuju atau tidak,” katanya lagi.
Johorkini