JOHOR BAHRU, 3 MAC : Tiada apa untuk dibanggakan selepas setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah negara ini.
Naib Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Johor, Norhayati Bidin berkata, rakyat tidak merasa manfaat yang baik dari pemerintahan PN hari ini.
Jelasnya, kerajaan cara ‘tebuk atap’ PN itu sentiasa dilihat hanya mementingkan kuasa berbanding memenuhi keperluan rakyat.
“Apa yang nak dibanggakan sedangkan hari ini rakyat dilihat semakin tertekan. Ada yang kehilangan pendapatan ditambah kenaikan harga barang semacam tidak terkawal dibanding kerajaan sebelum ini.
“Cuba lihat berapa ramai yang hilang pekerjaan?
Kalau mahu disenaraikan hampir semua sektor terjejas. Hanya kluster menteri yang tidak terjejas pendapatan.
“Keutamaan rakyat dilihat terkebelakang berbanding keutamaan kepada menteri kabinet. Di saat gaji rakyat dipotong, gaji dan elaun menteri terus selamat walaupun tiada sidang parlimen sepanjang masa darurat ini.
“Menteri yang ada hari ini pun tidak berfungsi dengan baik. Ada yang ambil cuti sehingga 55 hari, ada yang ‘flip flop’, ada yang ‘double standard’, pentingkan diri dan pelbagai lagi hal yang tidak memenangkan rakyat,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan PN hari ini yang dikatakan memperjuangkan Melayu dan Islam turut dilihat gagal mencapai objektif mereka.
Ujarnya bukan sahaja rakyat tidak berpuashati dengan prestasi dengan kerajaan PN malah parti komponen yang bersama membentuk kerajaan turut mengkritik keputusan-keputusan yang dibuat.
Kata Norhayati, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terkenal dengan jolokan PM paling banyak membuat perutusan namun gagal mengurus dasar negara yang boleh menjamin kesejahteraan rakyat.
“Kalau nak cerita PN memperjuangkan Melayu Islam memang gagal. Jauh panggang dari api. Jika ada kata-kata perjuangan agama dan bangsa, hakikatnya ia hanya penyedap untuk membeli hati rakyat.
“Bagaimana kerajaan nak mencapai objektif? Apa KPI yang boleh diukur? Indeks persepsi rasuah pun meningkat.
“Yang jelas mereka dilihat terus bercakaran sesama sendiri, bergaduh kerana tamak berebut kuasa ,” jelasnya lagi.
Johorkini