BM | EN | 中文

SERBUAN ANTI-SYIAH IKUT SOP – EXCO AGAMA JOHOR

tosrin-jarvanthi.jpg

JOHOR BAHRU, 13 SEPT: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menafikan dakwaan berlakunya kekerasan ketika serbuan keatas pengikut kumpulan berfahaman Syiah di Taman Bukit Kempas, pada 9 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata dalam operasi yang dikenali ‘Ops Hauzah’ itu, kanak-kanak berumur dua tahun merupakan antara 54 orang individu yang ditahan.

“Daripada jumlah tersebut, lapan orang merupakan warganegara Singapura, seorang warganegara Indonesia, seorang warganegara Yaman manakala selebihnya warganegara Malaysia dan kesemuanya berumur dua hingga 70 tahun.

“Serbuan itu dilakukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan ia merupakan antara beberapa siri Ops yang telah dilaksanakan oleh JAINJ,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar hari ini.

Kata Tosrin, beberapa barangan turut disita termasuklah kain rentang yang jelas menjadi elemen dan bukti kewujudan kumpulan Syiah selain nota dan kitab berkaitan ajaran fahaman tersebut.

Tambahnya, tangkapan dilakukan berdasarkan Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Kerajaan Negeri melalui JAINJ tetap berpegang terhadap larangan ke atas amalan dan ajaran fahaman Syiah seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada Oktober 2014.

“Pihak JAINJ tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap penganut dan pengikut ajaran berkenaan dan dalam masa yang sama mengharapkan kerjasama daripada orang ramai untuk salurkan maklumat berkenaan,” katanya.

Terdahulu dilaporkan, polis Johor kini sedang menyiasat dakwaan kekasaran di serbuan anti-syiah yang dijalankan oleh JAINJ baru-baru ini.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top