BM | EN | 中文

Serah hak jagaan anak-anak kepada JKM jika saya tiada – Norlaila

IMG-20200510-WA0004.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 10 MEI: “Saya serahkan hak jagaan tiga anak saya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekiranya saya sudah tiada,”.

Itu luahan seorang ibu tunggal yang menetap bersama tiga anak perempuannya di ruang bawah tanah sebuah bangunan usang dihadapan Jalan Skudai, di sini ketika ditemui baru-baru ini.

Melihat kepada kediamannya, pasti ramai tidak menjangka keluarga ini telah menetap di sana sejak lima tahun lalu kerana kediaman tersebut merupakan deretan kedai lama yang telah ditinggalkan.

Advertisement

Norlaila Abu Samah, 29, berkata, dia berfikiran sedemikian kerana bimbang akan kesihatan dirinya yang merupakan seorang pesakit kanser rahim sejak enam tahun lalu.

“Sejak disahkan menghidap kanser, saya telah menjalani lima pembedahan. Pihak hospital juga memberitahu saya perlu menjalani satu lagi pembedahan namun risikonya agak membimbangkan saya.

“Apa yang saya fikirkan hanya satu perkara iaitu anak-anak kerana saya tiada tempat pergantungan lain. Sekiranya apa-apa berlaku pada saya, saya serahkan mereka kepada JKM untuk dijaga.

Advertisement

“Sebelum ini saya menyewa sebuah rumah di Kampung Laut sebelum diarahkan keluar. Namun saya tetap bersyukur kerana diberi izin menumpang di bangunan ini walaupun strukturnya sudah uzur,” katanya.

Tambah Norlaila, ketika ini dia hanya mengharapkan bantuan pihak berkuasa seperti JKM dan Baitulmal untuk menyara kehidupan keluarga selain mengambil upah mengemas rumah dan mengutip barang kitar semula.

“Bantuan diterima daripada JKM berjumlah RM200 sebulan, manakala daripada Baitulmal sebanyak RM700 sebulan. Namun majoriti daripada habis digunakan untuk keperluan perubatan serta tambang berulang alik ke hospital.

Advertisement

“Sukar bagi saya mendapatkan pekerjaan tetap kerana penyakit yang dialami, selain turut menjaga tiga anak berusia 13, 12 dan 10 tahun.

“Dengan situasi semasa dimana perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya tidak dapat keluar bekerja langsung dan hanya mengharap sumbangan pihak berkuasa,” ujarnya.

Norlaila turut memberitahu kini ada pihak yang membantunya untuk mendapatkan kediaman menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) dan berharap urusan itu dapat dipermudahkan demi masa depan anak-anaknya.

Advertisement

Sementara itu, Setiausaha Kelab Memanah Alam, Nazirah Md Nasirudin berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan Norlaila sebelum berusaha mencari lokasi kediamannya.

“Apabila tiba di sini agak terkejut juga kerana tidak sangka ada individu yang menetap dalam keadaan sedemikian rupa, di bawah tanah sebuah bangunan usang.

“Setelah mendapat maklumat daripadanya, kami berusaha membantu keluarga ini khususnya daripada barangan kelengkapan asas,” katanya lanjut.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top