JOHOR BAHRU, 30 DIS: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Ismail Ismail Dollah berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku pada jam 6.30 pagi ini.
“Mangsa, Mohd Shariff Mohd Yusof, 36, dari arah Felda Ulu Tebrau hilang kawalan kenderaannya sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Sebuah kenderaan dari arah lain tidak sempat mengelak kenderaan mangsa sebelum merempuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Ismail berkata, akibat kemalangan itu Mohd Shariff yang merupakan seorang tentera maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Pemandu kenderaan lain yang berusia 42 tahun mengalami kecederaan patah bahu dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk dirawat,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Johorkini