BM | EN | 中文

Seorang pegawai polis dari IPD Melaka Tengah terlibat ‘Geng Nicky’ ditahan

nicky-liow.jpg
Advertisement

MELAKA, 28 APR: Polis Melaka hari ini mengesahkan seorang pegawainya yang berpangkat DSP dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, ditahan polis Johor kerana disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata justeru, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada polis Johor bagi membantu siasatan lanjut kerana beliau tidak akan berkompromi dengan anggota atau pegawai yang terlibat dengan kumpulan jenayah terancang itu.

“Saya sebagai Ketua Polis Melaka tidak akan melindungi mana-mana pegawai dan anggota yang bertugas di Melaka sama ada terlibat dalam sindiket jenayah atau rentas sempadan.

Advertisement

“Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis Johor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap apa juga siasatan yang melibatkan pegawai dan anggota di kontinjen ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Pengedaran Bubur Lambuk kepada Masyarakat Sempena Sambutan Hari Polis ke-214 di sini hari ini.

Pada program itu, sebanyak 1,200 bekas bubur lambuk diagihkan kepada orang awam dengan kerjasama Pasar Raya Mydin.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengulas lanjut mengenai penahanan pegawai berumur 43 tahun daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Melaka Tengah itu kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa polis Johor.

Advertisement

Dalam pada itu, katanya anggota dan pegawai polis di Melaka digesa meletak tepi kepentingan diri dan mendahulukan pasukan agar PDRM tidak dicemuh atau dipandang hina oleh masyarakat.

Semalam, media melaporkan sebanyak 12 pegawai agensi penguat kuasa, termasuk seorang berpangkat Supt disyaki terbabit kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ yang ditahan melalui Op Pelican 3.0 sejak 21 April lepas hingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dipetik berkata semua suspek terbabit berumur antara 36 hingga 49 tahun termasuk dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Advertisement

Dalam perkembangan lain, Abdul Majid berkata sebanyak sembilan sekatan jalan raya (SJR) secara statik akan diadakan di sempadan negeri dan daerah negeri itu bagi mengelak pergerakan rentas negeri dan daerah serta jalan tikus menjelang Aidilfitri akan datang.

Beliau berkata pasukan pemantau juga akan digerakkan bagi melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan kawasan taman bagi memastikan penghuni rumah dan pengunjung mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19 sepanjang sambutan hari raya.

“Kita akan menyekat pergerakan rentas daerah dan sempadan semaksimum yang boleh dan operasi akan bermula seminggu sebelum Aidilfitri dengan 320 anggota dan pegawai polis akan bertugas di SJR dan pemantauan dari rumah ke rumah,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top