BM | EN | 中文

Seorang lagi warga Rohingya dipercayai ‘Geng Tailong’ Kulai diburu polis

Supt-Tok-Beng-Yeow.jpg

Supt Tok Beng Yeow

JOHOR BAHRU, 10 JUN: Polis masih mencari seorang lagi lelaki warga Rohingya dipercayai ahli ‘Geng Tailong’ yang dikatakan aktif dan terlibat dalam kes pecah rumah di sekitar daerah Kulai sejak dua bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata siasatan lanjut kini dijalankan untuk mencari lelaki yang dikenali sebagai ‘Rahman’ itu.

Ia adalah susulan daripada penangkapan dua lelaki warga Rohingya juga ahli ‘Geng Tailong’ masing-masing berumur 34 dan 33 tahun pada Jumaat lepas dan awal semalam.

Pada 5 Jun, lelaki berumur 34 tahun itu ditahan pada pukul 3.30 petang di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan manakala lelaki berusia 33 tahun ditahan pada 3.00 pagi semalam di sebuah kawasan perindustrian berkaitan kelapa sawit di daerah Kulai.

“Setakat ini kita dah tahan tujuh orang dipercayai ahli geng berkenaan termasuk dua wanita. Kita percaya geng ini bertanggungjawab ke atas 15 kes pecah rumah di sekitar daerah ini sejak dua bulan lepas,” katanya, lapor Bernama.

Tok berkata ketika penahanan terbaharu ini, pihaknya turut merampas sebuah beg silang warna hitam didalamnya mengandungi tiga utas jam tangan berjenama, sebentuk loket patung Buddha serta sebuah telefon bimbit dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM5,000.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam kes pecah rumah di sekitar kawasan Bandar Putra, Kulai bersama dengan rakan-rakan sejenayah yang telah ditahan oleh polis sebelum ini,” katanya.

Kedua-dua suspek berkenaan kini ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam.

Tok berkata kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat bagi kesalahan kali kedua.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top