“Salam Suhail. Aku nak ke Guangzhou bulan depan. Apa tips untuk kedai makan ya?”
Soalan begini selalu ditanyakan kepada saya oleh rakan-rakan yang ingin bercuti di Guangzhou. Ini bukan kali pertama saya mendapat sms begini tapi saya seronok melayannya.
Bagi memudahkan lebih ramai orang yang nak bercuti ke sana mencari tempat makan, saya kongsikan di sini untuk mudah dibaca.
Sebagai orang Islam, ramai akan tanya, senang ke nak cari makanan halal?
Jawapannya senang jika anda tahu caranya. Antara tanda-tanda restoran itu halal atau tidak, sila cari perkataan halal yang ditulis dalam tulisan Arab. Jarang sekali kita jumpa yang menulisnya dalam tulisan rumi ‘HALAL’.
Macam mana kalau mereka menipu? Kalau mereka letakkan tanda halal tapi sebenarnya tidak. Oh, itu tak berlaku sebabnya di papan tanda perniagaan juga ada tulisan bismillah dalam bahasa Arab. Mungkin perkataan Halal tiada tapi tulisan bismillah mungkin ada.
Sejak akhir tahun 2019, saya dimaklumkan berlaku perubahan di Guangzhou apabila perkataan halal hanya dikekalkan dalam tulisan Cina yang tertulis 清真 (Qingzhen). Jadi, perhatikanlah tulisan ini. Peraturan di sana sering berubah-ubah ikut situasi semasa.
Masih tak yakin lagi? Jangan risau, cuba masuk kedainya. Mungkin tulisan bismillah itu ada di dalam premis perniagaannya. Kalau tiada juga, cuba tengok pelayan dan peniaganya. Pada kebiasaan, mereka akan berkopiah dan bertudung.

Menu di sebuah restoran mewah milik orang Muslim Xinjiang, utara China
Mungkin kopiah dan tudung itu dipakai oleh orang bukan Islam. Macam mana ya? Oh, masih tidak yakin rupanya. Tak apa, cuba ucapkan salam kepadanya. Jika dijawab, percayalah mereka ialah orang Islam.
Bagaimana kalau masih tidak yakin? Wah, susahnya nak yakinkan anda. Begini, cuba pula tengok pada ayam atau itik yang digantung. Jika mereka orang Islam, sudah tentu ada tanda sembelihan pada leher ayam dan itik itu. Jika nampak masih sama seperti ayam dan itik itu hidup tanpa bulunya, maka sahlah tidak halal.
Jadi, sekarang anda dah boleh makanlah. Ambil tempat duduk yang selesa untuk anda sekeluarga. Seperti biasa, pelayan akan datang membawa menu untuk dibaca dan dipilih. Jangan pelik pula apabila menu itu tetap diberikan kepada kita sebab andaian mereka kita juga boleh membaca tulisan Cina.
Rupa-rupanya kita tak boleh membaca dan bercakap bahasa Cina. Alamak masalah ini. Tak mengapa, jangan risau. Kebanyakan restoran atau warung orang Islam di Guangzhou menyediakan menu bergambar. Jika bukan pada menu di tangan, pasti ada menu besar yang ditampal di dinding.
Tengok saja gambar mana yang menyelerakan dan tunjukkan pada pelayan. Kemudian tunjuk isyarat jari melambangkan berapa yang diperlukan untuk menu itu. Soal harga pun tiada masalah, sebab di tepi gambar tadi, biasanya tertera harga makanan tersebut.
Jadi, sekarang dah boleh makan. Selepas makan, kebiasaan kita mahu minum air. Berbanding di Malaysia, menu mereka tidak tertulis pun sebarang pilihan air minuman. Hah, apakah mereka tak minum selepas makan? Nak elak diri daripada buncit agaknya.
Bukanlah. Sebenarnya air minuman diberikan percuma. Lazimnya air teh Cina disediakan untuk kita. Jika tak cukup, mintalah lagi. Bagi yang tak biasa minum, jangan pula minta gula sebab air teh mereka memang tanpa gula. Taklah pahit pun, biasa saja dan lebih sihat sebenarnya.

La Mian telah siap dengan kuah dan lauk yang enak
Tapi kalau anda makan di restoran, mungkin ada pilihan air botol atau tin yang tersedia. Jadi, bolehlah melepaskan rasa mengidam air manis setelah berhari-hari minum air teh Cina.
Di sesetengah tempat seperti Beijing Lu, ada restoran halal yang menyajikan roti canai dan teh tarik. Restoran ini dalam kategori eksklusif. Mereka juga biasa melayani pelancong asing dan boleh berbahasa Inggeris.
Kalau tiada masalah bajet, silakan makan di sini. Harganya berbeza hampir tiga kali ganda daripada warung Cina Islam yang biasa di tepi jalan. Walaupun mahal, ia sangat berbaloi.
Ada satu menu yang saya sarankan anda cuba tapi kena hafal ayat ini dahulu. “La Mian Yi Ge.” Bunyinya ialah La Mian Yee Ke yang bermaksud “Mee Tarik satu!”
Mee Tarik? Ya ia bukan lagi makanan yang aneh di negara kita. Waktu awal-awal saya ke Guangzhou dahulu, inilah makanan kegemaran. Waktu itu mee tarik tak dikenali di Malaysia. Setakat yang pernah saya rasa di Malaysia, rasanya tak dapat menandingi keenakan sebenar di tanah besar China.
Chefnya akan mula menguli tepung dan kemudiannya tarik dan uli berkali-kali. Teknik ini pantas sekali dibuat hingga akhirnya kita nampak terhasillah mee. Mee itu akan dicelur dalam air panas sebelum dicurahkan kuah masakan pilihan kita. Cubalah ya.. kalau tidak, rugi rasanya kita bercuti ke negara orang tanpa merasai makanan unik tempatan.
Setelah membaca tulisan ini, apa lagi yang hendak ditunggu. Cepat-cepatlah merancang untuk bercuti ke China dan lihat sama ada tips yang diberikan ini berguna atau tidak. Jangan tunggu lagi, selamat melancong.
JohorKini