JOHOR BAHRU, 19 JAN: Semua pihak diseru memberikan sokongan moral kepada petugas barisan hadapan atau ‘frontliners’ dalam berhadapan dengan situasi yang sangat genting ini.
Speaker Dewan Negeri (Dun) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, petugas barisan hadapan dilihat semakin lemah dan sokongan serta kerjasama yang baik perlu diberikan oleh semua pihak terhadap mereka.
“Terdapat beberapa kes yang menunjukkan bahawa ‘frontliners’ ini dalam keadaan yang paling mencabar sepanjang kerjaya mereka.
“Seperti yang kita maklum Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan bahawa 80 peratus tenaga telah digunakan oleh petugas-petugas ini dan ini menunjukkan kepada kita bahawa sokongan berbentuk moral perlu diberikan.
“Saya mengajak semua pihak memberikan kerjasama yang baik serta sokongan moral kepada petugas-petugas kita yang kini sedang bertungkus lumus berhadapan dengan situasi genting hari ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Adun Perling, Cheo Yee How turut memberi pendapat yang sama serta mengharapkan kerajaan melakukan sesuatu terhadap ketegangan yang berlaku.
Ujarnya, terdapat beberapa kes yang menyebabkan pesakit terpaksa tampil menyerah diri ke Klinik Kesihatan adalah tanda ketegangan sektor kesihatan tersebut dalam berhadapan dengan Covid.
“Kita dapat kesan keadaan ini yang mana pesakit terpaksa membawa kenderaan mereka sendiri untuk mendapatkan rawatan.
“Ini adalah gambaran di mana pihak kesihatan mengalami ketegangan yang melampau dalam menguruskan soal Covid ini.
“Saya berharap agar kerajaan segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan permasalahan ini seperti memberikan sokongan moral, memberikan kelengkapan dan sebagainya kepada petugas barisan hadapan,” ujarnya.
Johorkini