BM | EN | 中文

Semua pasar di Johor dibenar beroperasi semula, dengan syarat pematuhan SOP

Semua-pasar-di-Johor-dibenar-beroperasi-semula-dengan-pematuhan-SOP-Fama.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 21 OKT: Semua pasar tani, pasar awam, pasar pagi, pasar malam dan Bazar Karat di Johor dibenar kembali beroperasi serta-merta dengan syarat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Ayub Jamil berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bahagian Kerajaan Tempatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu pada Ahad lepas (18 Okt).

“Perkara ini adalah sebagai maklum balas kepada penutupan sementara beberapa pasar pagi dan pasar malam yang dilakukan sebelum ini bagi mengawal dan mengelakkan berlakunya perhimpunan awam berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di seluruh negara, minggu lepas.

Advertisement

“Inisiatif ini diambil bagi memastikan golongan ini (peniaga) dapat meneruskan kelangsungan hidup sekali gus membantu memulihkan ekonomi negeri setelah penilaian secara kolektif bersama pihak berkaitan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 15 Okt lepas, semua operasi pasar malam, pasar pagi, pasar khas, bazar Johor Bahru serta pasar tani (bukan Pasar Tani Kekal) di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), diarah tutup sementara mulai 16 Okt, berikutan terdapat kes penularan COVID-19.

Penutupan itu membabitkan 50 lokasi pasar malam di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), 16 lokasi pasar pagi di kawasan pentadbiran MBJB, serta sepuluh lokasi pasar malam dan masing-masing dua pasar pagi, pasar tani dan pasar lambak di kawasan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Advertisement

Dalam pada itu, Ayub menegaskan bahawa penutupan pasar terbabit boleh dilakukan oleh PBT sekiranya terdapat kes lokaliti penularan COVID-19 setelah mendapat laporan penilaian risiko dan khidmat nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.

Katanya, PBT juga dibenarkan mengambil tindakan penutupan serta-merta terhadap peniaga yang gagal mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), selain jika mendapati pasar berkenaan berada dalam keadaan tidak terkawal.

“Antara SOP yang harus dipatuhi adalah pemakaian pelitup muka, pengambilan suhu badan dan memastikan pasar diadakan di kawasan lapang dan berpagar (atau penghadang) bagi memudahkan kawalan keluar masuk pengunjung serta gerai dijarakkan antara 1.5 meter dan 2.0 meter.

Advertisement

“Selain itu, peniaga dan pengunjung juga perlu berdaftar dengan aplikasi MySejahtera bagi membolehkan KKM menjejak kontak rapat sekiranya berlaku penularan COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru Mohammad Salezan Mohd Salleh ketika dihubungi berkata pihaknya gembira kerana kerajaan negeri prihatin dengan rintihan golongan penjaja.

“Saya mewakili penjaja dan peniaga kecil serta semua ahli persatuan berkaitan mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri Johor terutamanya Menteri Besar dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mendengar rintihan peniaga-peniaga di bandar raya Johor Bahru untuk terus berniaga dan kami akan pastikan SOP dipatuhi,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top