BM | EN | 中文

“Sempena Aidiladha, buang sifat khianat”

aminolhuda-hassan.jpeg

BATU PAHAT, 31 JUL: Sifat khianat adalah salah satu sifat yang dibenci oleh manusia mahupun Penciptanya.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Johor, Aminolhuda Hassan dalam perutusan Hari Raya Aidiladha 1441 Hijrah hari ini.

Katanya, sifat khianat itu bukan sahaja boleh mendatangkan musibah dan bencana malah ia juga boleh mencetuskan huru-hara serta merentap kesejahteraan yang selama ini terbina.

“Umat Islam di negara ini perlu belajar erti pengorbanan dengan membunuh sifat-sifat yang merosakkan diri sendiri mahupun masyarakat umum.

“Antara sifat yang merosakkan itu adalah khianat. Sebagai umat Islam, kita harus membuang sifat ini kerana ia akan menjadikan kita sebagai orang yang tidak bertanggungjawab dalam pelbagai situasi.

“Ia lebih terkesan lagi sekiranya perkara itu dilakukan oleh sesetengah pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri berbanding amanah yang diberikan kepadanya dari rakyat di bawahnya.

“Sekiranya pemimpin itu dari kalangan umat Islam, amat malanglah bagi kita sebagai umat Islam kerana tindakan pengkhianatan tersebut pastinya mengundang nama busuk bagi agama kita Islam,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Adun Parit Yaani turut menyatakan simpati kepada nasib rakyat di negara ini yang menyambut hari kebesaran agama Islam itu dalam keadaan yang sederhana serta mengikut tatacara prosedur operasi standard (SOP) akibat pandemik COVID-19.

“Sebelum ini kita turut menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan yang terhad.

“Kini kita menyambut Hari Raya Aidiladha walaupun sudah boleh pulang ke kampung, namun segala pematuhan SOP kita perlu ikuti.

“Kita juga merasa simpati apabila tahun ini ibadah Haji tidak dapat ditunaikan juga akibat Covid 19 yang melanda dunia termasuk negara Arab Saudi yang terpaksa menutup Masjidil Haram dari kehadiran orang luar.

“Saya juga menyeru agar semua pihak terutamanya umat Islam di negara ini terus bersabar dengan dugaan ini dan saya mendoakan agar kesejahteraan kembali terjalin di kalangan kita umat Islam di negara ini,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top