PONTIAN, 13 JAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong mengunjungi keluarga mangsa banjir di Kg Seri Gambut di sini, seterusnya menyampaikan bantuan barangan keperluan makanan.
Menurut Yeo, banjir yang berlaku itu melibatkan empat keluarga yang menghuni di kampung tersebut dan ada di kalangan penghuni rumah yang telah pun dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Sejurus mendapat berita tersebut, saya terus bergegas pergi ke Kampung Seri gambut, ketika itu PPS dalam proses untuk dibuka,
“Saya bawakan roti, air mineral dan selimut untuk digunakan oleh mangsa banjir. Empat keluarga terlibat dengan banjir kali ini.
“Bulan ini sahaja sudah dua kali banjir. Kasihan mereka semua, baru kemas rumah dah banijir lagi.
“Semoga mereka tabah dengan apa yang menimpa mereka,” kata Yeo.
Dalam pada itu Yeo memaklumkan, pusat khidmat DUN Pekan Nanas menerima sumbangan berbentuk barangan daripada orang awam,
Sumbangan itu kata Yeo akan digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan seperti mangsa banjir.
“Disaat kita berkongsikan kebaikan kepada orang ramai, bukanlah kita menunjukkan bahawa kita ini baik.
“Hanya sahaja dengan berbuat demikian, mudah-mudahan semakin ramai yang terdetik hati nurani untuk berbuat kebaikan.
“Semakin ramai yang menyebarkan kasih sayang, semakin makmur hidup kita yang berbilang bangsa dan agama ini.
“Terima kasih saya ucapkan kepada penderma, semoga diberikan kesihatan, dilimpahkan rezeki serta mendapat ganjaran di sisi Tuhan,” katanya lagi.
Johorkini