JOHOR BAHRU, 3 DIS : Tujuh mangsa kebakaran terpaksa menyorok di syiling rumah untuk menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran yang berlaku di rumah kedai Jalan Mawar 3, Taman Tampoi Indah, di sini, malam kelmarin.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I K Karuppannan berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 10.30 malam.
Katanya, seramai 14 anggota bersama dua jentera dan sebuah kenderaan EMRS dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Larkin bergegas ke lokasi kejadian.

Keadaan rumah kedai Jalan Mawar 3, Taman Tampoi Indah yang terbakar malam kelmarin.
“Dua buah balai iaitu dari BBP Tebrau dan BBP Skudai turut dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan.
“Operasi menyelamat turut dihadiri Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syahhir Ikhwan Mohamad di mana kebakaran berkenaan melibatkan rumah kedai empat tingkat,” katanya dalam satu kenyataan.
Karuppannan berkata, kejadian berlaku di tingkat satu bangunan.
“Terdapat sembilan orang mangsa di dalam rumah dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba.
“Tujuh daripada sembilan orang mangsa tersebut yang bersembunyi di dalam syiling rumah turut berjaya dibawa turun oleh pihak bomba.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya lagi.
Tambahnya, pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian dan anggaran kerugian.
JohorKini