BM | EN | 中文

SEMANGAT PATRIOTIK PERLU DIPAKSAKAN

jalur-gemilang.jpg

Perbuatan mempamerkan Jalur Gemilang dengan salah bukan kali pertama berlaku. Rentetan kesilapan berulang kali yang berlaku seolah-olah menggambarkan satu tindakan protes senyap terhadap kerajaan.

Bermula dengan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di beberapa buah negeri sempena sambutan kemerdekaan kali ke-62 sehinggalah kepada lambang bintang tidak cukup bucu dan jalur dalam acara Kejohanan Bola Keranjang Bawah 15 Tahun Malaysia.

Perbuatan sambil lewa oleh mana-mana pihak dalam kesilapan-kesilapan begini sepatutnya menarik perhatian kita seluruh warga Malaysia untuk kembali meningkatkan semangat patriotisme.

Lambang-lambang negara dalam Jalur Gemilang, jata kerajaan dan seumpamanya hendaklah sentiasa dipastikan mematuhi tatacara mempamerkannya sama ada dalam bahan cetak mahupun elektronik.

Ini termasuk juga dengan menaikkan dan melayarkan bendera lambang-lambang berkenaan.

Kesilapan ini menunjukkan sambil lewa pihak-pihak terbabit kerana lazimnya dalam setiap acara, pasti ada raptai dibuat terlebih dahulu. Sesi raptai ialah ruang untuk pihak penganjur mengenalpasti kesilapan dan kesalahan yang dibuat agar acara sebenar dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Sudah tiba masanya satu undang-undang khas dibuat bagi menghukum mereka yang tidak bertanggungjawab seperti yang wujud di negara-negara lain.

China mengenakan hukuman maksimum penjara tiga tahun bagi sesiapa yang menghina lagu kebangsaan dan bendera negaranya di khalayak umum.

Di Greece, Artikel 188 Kanun Keseksaan mereka menyebut dengan jelas perbuatan menghina lagu kebangsaan, merosakkan bendera dan simbol-simbol negara yang lain boleh dikenakan hukuman dua tahun penjara atau denda.

Jerman pula mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah yang merosakkan bendera negara dengan hukuman maksimum lima tahun penjara.

Perancis mengklasifikasi perbuatan serupa sebagai jenayah yang boleh dihukum denda EUR7,500 (dan penjara enam bulan jika dilakukan dalam acara keramaian).

Hukuman bagi kesalahan sama juga dikenakan oleh Sepanyol dengan denda atau penjara selama tujuh hingga 12 bulan manakala Singapura mempunyai undang-undang khas yang mengenakan denda maksimum SGD1,000.

Walaupun hukuman-hukuman ini tidak dipersetujui sebahagian para pejuang hak asasi manusia, masyarakat harus sedar bahawa mereka sebenarnya hidup bermasyarakat. Kerajaan juga berhak mengatur masyarakat agar hidup dalam keadaan aman dan sentosa. Dalam keadaan tertentu, hak kerajaan mengatasi hak asasi individu demi kepentingan yang lebih besar.

Di Malaysia, tiada peruntukan khas undang-undang berkenaan isu ini. Namun, pelaku boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atau Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 seperti yang dijelaskan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Ketiga-tiga peruntukan itu membenarkan hukuman yang berbeza terhadap pelaku. Hukuman maksimum penjara dua tahun dan atau denda RM50,000 ada diperuntukkan.

Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 yang wujud setakat ini tidak menyentuh perbuatan menghina Jalur Gemilang secara langsung.

Jadi, sudah tiba masanya undang-undang khas digubal bagi kesalahan menghina Jalur Gemilang seperti Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang menyatakan dengan jelas kesalahan-kesalahan berkaitan termasuk gagal berdiri ketika lagu Negaraku berkumandang yang boleh dihukum denda RM100 atau sebulan penjara.

Disebabkan kesilapan ini berulang kali berlaku dalam tempoh tidak sampai enam bulan, pernyataan memohon maaf yang pernah diucapkan nampaknya tidak memberi iktibar kepada para pelaku yang seterusnya. Justeru, dakwaan perlu dilakukan dan hukuman dikenakan agar isu ini tidak berlarutan.

Dengan adanya peruntukan undang-undang, dapatlah kita menjadi seperti negara jiran kita Singapura. Walaupun Avijit Das Patnaik hanya diberikan amaran keras setelah disiasat polis, dia telah dikenakan tindakan disiplin oleh majikannya DBS Bank disebabkan mempamerkan bendera Singapura yang koyak dalam laman Facebooknya. Sejak Oktober 2018 sehingga awal tahun ini, dia masih menganggur.

Sebetulnya perasaan cintakan negara atau semangat patriotisme ini tidak perlu dipaksakan menerusi undang-undang. Ia sepatutnya lahir dari jiwa anak watan yang kasihkan negaranya. Namun, apabila terjadi perlakuan menghina negara menerusi lambang-lambang negara oleh warganegara sendiri, undang-undang ini diperlukan untuk mendidik mereka secara ‘paksa’.

Jika wujud ketidakpuasan hati terhadap pemimpin politik mahupun parti politik, usah dilempiaskan pada lambang-lambang negara kita yang tidak berpihak. Semua lambang itu adalah milik anak watan, lambang jatidiri dan kewibawaan negara dan masyarakatnya.

Jika itu bukanlah sebab atau mesej tersirat di sebalik kesilapan itu, maka jelaslah betapa para pelaku ini mengambil enteng hal patriostime.

RUJUKAN

https://www.sinarharian.com.my/article/44087/EDISI/Johor/Bendera-terbalik-Boleh-dikenakan-tindakan-undang-undang-dipenjara

https://www.euronews.com/2017/11/09/which-country-has-the-harshest-punishments-for-disrespecting-flags-and-national

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2017/08/318995/kenakan-tindakan-tegas-hina-jalur-gemilang

https://www.channelnewsasia.com/news/singapore/ex-dbs-avijit-das-patnaik-ripped-singapore-indian-flag-interview-11152596

JohorKini

 

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top