BM | EN | 中文

Seludup di sempadan, Macau Scam antara kes yang curi tumpuan ramai tahun ini

macau-scam.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Kegiatan jenayah berkaitan sempadan negara termasuk kejadian tembak dan penyeludupan migran serta sindiket penipuan Macau Scam adalah antara yang mendapat perhatian ramai sepanjang tahun 2020.

Antara yang menggemparkan ialah kejadian seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis, maut dan rakannya cedera parah selepas berbalas tembak dengan kumpulan penyeludup pada 24 Nov lepas.

Sjn Baharuddin Ramli, 54, daripada Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA, terbunuh selepas terkena tembakan di bahagian kiri perut manakala Sjn Norihan a/l Tari, 39, dari Pos Kawalan Sempadan kritikal akibat tiga das tembakan di rusuk serta perut dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi itu.

Advertisement

Kejadian itu dilaporkan berlaku dalam kawasan belukar di kebun getah yang sering dijadikan laluan penyeludupan, kurang 600 meter dari sempadan ketika kedua-dua anggota PGA itu menunggang motosikal untuk menjalankan pemantauan kawasan.

Anggota PGA itu hanya bersenjatakan pistol kerana mereka bertugas sebagai peninjau, dan mereka terserempak dengan penyeludup dipercayai seramai 13 orang yang membawa kira-kira 500 kilogram daun ketum serta seguni ubat batuk sebelum berlaku kejadian berbalas tembak antara mereka.

Susulan kejadian itu, PGA menggerakkan unit berkuda, unit udara, unit kereta perisai dan anggota 69 Komando (VAT69) ke sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha mencegah aktiviti penyeludupan dan memburu penyeludup.

Advertisement

Sejumlah suspek rakyat tempatan dan Thailand ditahan ekoran kejadian itu, dan pada 8 Dis seramai 52 orang direman 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Selain kejadian itu, negara turut dikejutkan dengan penahanan 18 pegawai serta anggota polis dan tentera kerana disyaki terlibat kegiatan menjual maklumat kepada sindiket penyeludupan pendatang asing dan dadah di Johor pada 18 Jun lepas.

Kegiatan itu terbongkar susulan penahanan 40 ahli kumpulan sindiket jenayah terancang yang terlibat kegiatan penyeludupan pendatang asing di negeri itu pada 4 Jun, dan mereka dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan migran serta dadah di kawasan pantai timur Johor sejak tiga tahun lepas.

Advertisement

Kes-kes rasuah dan salah laku seolah-olah tidak berkesudahan apabila pada November sejumlah 65 orang terdiri daripada 39 pegawai Jabatan Imigresen, 17 ejen dan sembilan orang awam ditahan menerusi Ops Selat yang digerakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras sindiket rasuah dalam pemalsuan cap kemasukan bagi melintasi sempadan negara.

Turut mendapat perhatian di tengah-tengah pandemik COVID-19 ini ialah kes-kes melibatkan penipuan Macau Scam yang seolah-olah tiada penghujung, malah semakin ramai menjadi mangsa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini bagi membendung wabak COVID-19.

Namun pada awal Oktober, lima individu termasuk dua yang masing-masing bergelar Datuk Seri dan Datuk yang disyaki dalang sindiket itu ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes penipuan sindiket Macau Scam.

Advertisement

‘Datuk Seri’ itu dikenali ramai kerana sering menunjukkan kehidupan yang serba mewah dan terkenal dalam kalangan selebriti popular tanah air.

Lebih mengejutkan apabila pihak berkuasa turut menahan beberapa pegawai kanan dan anggota polis yang dikatakan bersekongkol melindungi sindiket berkenaan yang menyebabkan ramai mangsa mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.

Turut menambah rencah kes itu ialah apabila seorang daripada suspek utama meloloskan diri dengan memanjat pagar ketika berada dalam kawasan SPRM sebaik sahaja dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Advertisement

Suspek berusia 32 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan di sebuah hotel di pusat peranginan di Pahang setelah berada dalam persembunyian selama lima hari.

Susulan itu, suspek bergelar Datuk berkenaan serta seorang lagi yang bergelar Datuk Seri, dan dua anggota polis dikenakan perintah tahanan selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top