BM | EN | 中文

Seleweng RM3.1 juta, SPRM tahan tujuh petugas kaunter JPJ Johor

Seleweng-RM3.1-juta-SPRM-tahan-7-petugas-JPJ.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 21 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan tujuh petugas kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor, membabitkan kerugian RM3.1 juta.

BH Online melaporkan sumber sebagai berkata, mereka yang ditahan itu membabitkan lima kakitangan lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 42 tahun yang semuanya dipercayai bertugas di JPJ Johor Bahru.

“Mereka dipercayai memanipulasi sistem transaksi dalam talian MySIKAP bagi urusan cukai jalan LKM dengan jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Johor mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019,” kata sumber berkenaan.

Advertisement

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang kini berada di Johor Bahru bagi menghadiri mesyuarat bersama SPRM Johor mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok, bagi proses reman dan kes siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Siasatan ini bermula hasil makluman dan kerjasama yang baik oleh Bahagian Integriti dan Pejabat Ketua Pengarah JPJ.

Advertisement

“SPRM akan meneruskan kerjasama dengan JPJ supaya langkah pematuhan dan penambahbaikan proses kerja dapat dilakukan bagi mengelak kegiatan rasuah ini berulang khususnya ia menyebabkan ketirisan hasil kerajaan.

“Perkara ini dibincangkan dengan Ketua Pengarah JPJ sebelum ini dan perkongsian maklumat seumpama ini dapat meningkatkan integriti dan tadbir urus jabatan, sekali gus menutup ruang serta peluang rasuah,” katanya.

Susulan itu, Azam meminta mana-mana pihak atau agensi memberi maklumat kepada SPRM seperti dilakukan pihak Ketua Pengarah JPJ ini.

Advertisement

“Masyarakat yang berurusan di kaunter jabatan perlu bersikap ambil peduli dan sentiasa memeriksa resit selepas melakukan urusan di kaunter atau pun ejen dilantik,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top