PONTIAN, 11 JAN: Kerajaan Johor seharusnya mempergiat dan memperkasa penerangan tentang hak dan tanggungjawab pengundi awal atau pengundi muda ini, kata Adun Pulai Sebarang, Muhammad Taqiuddin Cheman.
Katanya susulan dari itu, pelaksanaannya perlu benar-benar memberi impak, dan tidak boleh hanya sekadar menggubal saturang undang-undang, membentang dan melulus semata-mata.
“Sudah semestinya ada cabaran dan perkara-perkaran lain yang perlu disusuli bagi memastikan hak dan tanggungjawab yang diberikan daripada Undi18 ini dilaksanakan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perbahasan pindaan enakmen umur calon pilihan raya yang diturunkan dari 21 tahun kepada 18 tahun di Dewan Negeri Johor baru-baru ini.
Ujarnya, penurunan had umur sebagai pengundi hanya dicanang dalam forum dan di atas kertas tetapi dari sudut pemahaman dan tanggungjawab mereka untuk sistem demokrasi yang digunakan dalam negara tidak dimanfaatkan sebaiknya.
“Melihat kepada beberapa negara lain yang sudah lebih awal melaksanakan dasar ini, antara cabaran yang perlu dihadapi adalah bagaimana untuk memberi kesedaran semaksimum mungkin kepada golongan ini akan tanggungjawab mereka mengundi dalam pilihanraya.
“Misalnya, di Kanada, dalam laman sesawang electionsanddemocracy.ca, data menunjukkan pada tahun 2015, perbezaan peratusan (percentage gap) mereka yang keluar mengundi bagi kumpulan yang berumur 18-24 tahun dan 65-74 tahun adalah sekitar 20 peratus.
“Pada tahun 2019, peratusan pengundi muda yang berusia 18 -24 tahun yang keluar mengundi adalah sekitar 54 peratus berbanding pengundi berusia 65 hingga 74 tahun sebanyak 79 peratus.
“Ini menunjukkan perbezaan sekitar 25 peratus,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, pendedahan kepada penyertaan anak muda dalam proses demokrasi dalam negara amat penting.
“Ini bukan sahaja untuk memastikan penyertaan warganegara dalam memilih pemimpin itu dapat diperluaskan tetapi proses kepada menilai dan memilih pemimpin itu sesuatu yang baik kepada negara,” ujarnya lanjut.
Johorkini