KUALA LANGAT, 9 FEB: ‘Program Kita Ke Kampung’ inisiatif kerajaan negeri Selangor diteruskan bagi mempromosi keunikan produk keluaran masyarakat tradisi ke pasaran luar.
Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Selangor, Borhan Aman Shah berkata banyak kampung bukan hanya menumpukan aspek kebudayaan, malah penghasilan seni kraftangan selain makanan seperti kopi, nenas dan kerepek.
“Saya yakin produk penduduk tempatan seperti ini mampu menjadi tarikan ramai jika program ini dijayakan melalui kerjasama berterusan dengan unit perancang ekonomi negeri (Upen) dan Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS),” katanya, lapor SelangorKini.
Adun Tanjung Sepat itu berkata program juga selaras matlamat mengekalkan identiti sesebuah kampung di samping mengenal pasti peluang yang boleh ditawarkan kepada komuniti setempat.
“Contohnya, di Kampung Nelayan apa yang boleh dilakukan ialah mewujudkan sebuah rumah nelayan untuk lawatan orang ramai dan merakam foto.
“Kita juga mahu menggalakkan penglibatan anak muda dalam bidang keusahawanan misalnya membina sebuah bengkel di setiap kampung bagi memastikan kegiatan ekonomi berjalan,” katanya lagi.
Johorkini