BM | EN | 中文

Selangor rancang tanam sejuta pokok, sedia beri dana

Rancang-tanam-sejuta-pokok-Selangor-sedia-beri-dana-Hee-Loy-Sian.jpg

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian (tengah) menyerahkan anak pokok kepada wakil penduduk sambil disaksikan Adun Sentosa, Dr Gunaraj George (kanan) sempena majlis penutupan program PRO 500 pokok di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa, Klang pada 26 September 2021 (Gambar Ehsan SelangorKini)

Advertisement

KLANG, 26 SEPT: Kerajaan Selangor merancang menanam sejuta pokok dalam tempoh lima tahun ini demi memulihara kelestarian alam sekitar, kata Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian.

Kata Hee, pihaknya mengalu-alukan kerjasama semua pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan alam sekitar supaya matlamat menjaga ekosistem dapat direalisasi.

“Kerajaan negeri sedia beri dana menerusi tabung hasil kutipan bayaran caj beg plastik 20 sen bagi membolehkan program berunsur alam sekitar dijalankan.

Advertisement

“Peruntukan boleh dimohon sama ada dari kerajaan Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT), Ahli Dewan Negeri atau EXCO. Kita akan umum berkenaan permohonan ini nanti,” katanya, lapor SelangorKini.

Beliau berucap ketika majlis penutup Program PRO500 Trees Sentosa di Pusat Khidmat DUN Sentosa hari ini.

Menurut Loy Sian, kerajaan Selangor sangat mengutamakan isu alam sekitar dan tindakan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada awal bulan ini sebagai bukti jelas.

Advertisement

“Selangor satu-satunya negeri yang mempunyai undang-undang ketat. Setiap kawasan yang dinyahwarta akan diganti supaya hutan tidak berkurang.

“Selangor juga adakan sesi pendengaran awam sebelum nyah warta (hutan). Kita ambil pandangan masyarakat, NGO barulah buat keputusan,”katanya.

Ketika pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor Ogos lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah kewajaran mengekalkan keluasan hutan simpan tidak kurang 30 peratus daripada tanah negeri dalam melaksanakan agenda hijau.

Advertisement

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah setakat ini 31.47 peratus keluasan negeri melibatkan 250,000 hektar kawasan hutan simpan sudah diwartakan selain menyasar pewartaan 32 peratus lagi kawasan hutan kekal simpan pada 2025.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top