BM | EN | 中文

Selangor giat promosi produk halal, sasar pasaran global

Selangor-giat-promosi-produk-halal-sasar-pasaran-global.jpg

Gambar Ehsan SelangorKini

SHAH ALAM, 16 DIS: Kepelbagai sektor halal yang menjadi tumpuan masa kini termasuk di Selangor diketengahkan melalui program Fam Trip Media Promosi Industri Halal.

Program empat hari dengan kerjasama Pertubuhan Media Negeri Selangor (PMNS) turut menghimpunkan pempengaruh bagi mempromosikan sektor tersebut, kata Exco Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Menurut beliau menjelaskan segmen halal perlu diangkat meliputi makanan, farmaseutikal, dandanan diri, kosmetik, kewangan, hiburan, pelaburan dan pelancongan.

“Mungkin sebelum ini ramai beranggapan halal itu berkaitan makanan dan minuman sahaja sedangkan skopnya lebih luas yang patuh syariah.

“Justeru kita akan pelbagaikan program untuk membantu pemain industri meneruskan kelangsungan dalam norma baharu,” katanya, lapor SelangorKini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Halal International Selangor (HIS) – Aspire Flagship Sdn Bhd Mat Ghazali Mohd Rakim dan Setiausaha PMNS Nuar Md Diah.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata Selangor menjadi negeri pertama mewujudkan bidang tugas khas berhubung aspek halal bagi mengangkat sektor terbabit ke peringkat global.

Menurutnya, bahagian industri halal dikawal HIS manakala pensijilan halal diselia Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Jais dan Jakim akan mengadakan pemantauan audit serta pendaftaran sijil halal sementara HIS fokus untuk mengangkat industri halal ke peringkat antarabangsa bagi menarik pelabur.

“Kita percaya industri ini sentiasa berkembang dan mempunyai nilai transaksi berbilion dolar,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top