Tahun 2019 telah melabuhkan tirainya, pelbagai warna warni berlaku. Semoga pada tahun baru ini, Johor akan terus berjaya dan rakyat lebih sejahtera di bawah kerajaan Pakatan Harapan.
Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung
“Misi saya bagi tahun 2020 adalah untuk memastikan penganjuran Tahun Melawat Johor 2020 mencapai sasaran kehadiran pelancong selain terus memantapkan lagi sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama ekonomi Johor.
“Saya juga memberi tumpuan untuk memperkasakan wanita dan golongan sasar bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih sejahtera,”.
Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar
“Menjelang 2020 antara misi yang menjadi keutamaan adalah untuk menambah baik fasiliti kesihatan di seluruh negeri ini, melibatkan hospital, klinik kesihatan dan klinik daerah.
“Selain itu, saya juga mahu memastikan pembinaan muzium di Batu Pahat berjalan lancar dalam memastikan daerah itu menjadi bandar warisan, selain terus mempromosi budaya dan warisan tempatan ke peringkat lebih tinggi,”.
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali
“Untuk tahun 2020, kita mengharapkan tahun yang bertuah untuk negeri Johor dan juga akan membawa kejayaan dan pencapaian yang baik untuk kerajaan negeri.
“Di peringkat portfolio saya, tahun ini merupakan tahun yang sangat penting. Bulan Julai 2020 dianjurkan Sukma. Kita berharap dapat melaksanakan yang terbaik untuk penganjuran acara berkenaan bagi tahun 2020 dan pasukan Johor dapat merangkul sebagai juara.
“Untuk Keusahawanan dan Koperasi kita memfokuskan untuk berdepan dengan revolusi industri 4.0, kita dapat melengkapkan usahawan di peringkat belia dan usahawan tempatan kita dapat menempa lebih banyak kejayaan dalam mengembangkan perniagaan mereka.
“Kita juga mengharapkan untuk menggapai kejayaan yang gemilang untuk keseluruhan belia, sukan, keusahawanan dan koperasi di peringkat negeri Johor. Insya Allah,”.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Solihan Badri
“Banyak tugas menunggu saya dan agensi di bawah portfolio saya. Ia meliputi pembangunan dan kemudahan darat dan laut serta pintu masuk ke negeri Johor.
“Saya mahu budaya pemantauan serta menyelenggara ditingkatkan. Harapan saya juga adalah untuk meningkatkan dan melancarkan Jalan-jalan perhubungan utama di negeri ini.
“Portfolio saya juga akan mencari kaedah memastikan masalah kontraktor lewat menyiapkan kerja akan ditangani dengan tegas,”.
Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Johor, Aminolhuda Hassan
“Pada tahun 2020 ini, kita harap Universiti Johor berjaya diwujudkan dengan dokongan kerajaan Johor untuk keperluan tenaga kerja mahir dalam bidang yang diperlukan oleh industri di Johor sendiri. Kita juga mensasarkan Johor akan berjaya menyediakan 50,000 peluang pekerjaan mahir dan separa mahir kepada rakyat sepanjang tahun 2020.
“Bermula tahun 2020 juga kerajaan negeri akan mendedahkan pendidikan robotik kepada lebih 1,000 pelajar bermula dari sekolah rendah dan menengah rendah. Semoga tahun 2020 membawa lebih kejayaan buat negeri Johor,”.
Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon
“Tahun 2019 tahun mencabar dengan insiden Kim Kim bagaimanapun sejak itu kesedaran dan kebertanggungjawaban dikalangan masyarakat meningkat. Diharap pada tahun 2020 masyarakat bersama semua pihak terus kekal untuk bersama menjaga alam sekitar.
“Sementara dari aspek kebersihan pula diharap semua pihak dapat memainkan peranan menjaga kebersihan negeri ini sekali gus menjadikan agenda Johor Bersih sebagai keutamaan lebih-lebih lagi Johor menjadi tuan rumah sempena Tahun Melawat Johor 2020 pada tahun ini”
Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse
“Saya akan terus berusaha mendapatkan pelaburan yang dapat memberi impak lebih besar kepada ekonomi negeri. Dalam masa yang sama, perlu ada pemindahan teknologi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi khususnya kepada rakyat Johor.
“Ini bermakna ‘trade mission’ ke negara-negara lain selain daripada negara tradisional perlu diteruskan. Oleh itu, teruskan dengan usaha pembangunan revolusi industri 4.0 selaras dengan blueprint nasional Industry4ward demi menaikkan pendapatan pekerja dan produktiviti,”.
Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad
“Misi saya pada tahun 2020 adalah meningkatkan sasaran pembinaan Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) dengan membangunkan RMBJ di atas tanah milik kerajaan samada melalui perlantikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pemaju perumahan atau secara usahasama (JV) dengan pemaju swasta.
“Sehingga November 2019 sebanyak 27,126 unit berada dlm peringkat siap, dalam pembinaan dan perancangan yang kesemuanya dijangka siap sebelum 2023.
“Selain itu, saya mahu memastikan Jawatankuasa Induk Infrastruktur Komunikasi Negeri Johor dapat ditubuhkan dan menjadi agensi pemantau dan pemudahcara kepada perlaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bagi memastikan perlaksanaan liputan (coverage) dan kelajuan internet dapat direalisasi pada tahun 2023.
“Saya juga mahu memastikan Pelan Johor Bestari dapat dimulakan supaya perlaksanaan Johor Bestari (seperti Smart Selangor) yang berasaskan kepada teknologi digital dan revolusi industri 4.0 dapat dilaksanakan meliputi aspek Kerajaan Bestari, Pendidikan Bestari, Pertanian Bestari, Bandar Bestari, Pengurusan Sisa Pepejal secara Bestari, Ekonomi Digital dan lain-lain,”.
Exco Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr S Ramakrishnan:
“Kita akan perbanyakkan aktiviti antara komuniti seperti dialog antara agama, forum untuk orang ramai yang berlainan agama untuk memahami antara satu sama lain selain aktiviti berkaitan pelbagai budaya dan perpaduan di sekolah dan kalangan belia.
“Selain itu, kita juga akan fokuskan untuk mendidik orang ramai untuk menjadi ‘smart buyers’ dengan mempromosikan penggalakkan penggunaan aplikasi telefon pintar yang dikenali sebagai ‘Price Catcher’.
“Kita juga akan berkerjasama dengan persatuan-persatuan pengguna untuk menganjurkan program untuk mendidik rakyat Johor menjadi Smart Buyers selain mengadakan ‘Food Bank Project’,” katanya.
JohorKini