JOHOR BAHRU, 1 JAN: Malam Ambang 2020 dan Majlis Pelancaran Tahun Melawat Johor (TMJ) 2020 diadakan serentak di Puteri Harbour, di sini malam tadi memeriahkan lagi sambutan tahun baru kali ini.
Majlis sambutan yang disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal ini merupakan kerjasama antara kerajaan negeri melalui Tourism Johor bersama UEM Sunrise.
Menurut Tourism Johor, majlis ini tanda bermulanya kempen untuk memaklumkan kepada orang ramai berkenaan program-program yang akan dilaksanakan dan destinasi-destinasi utama yang perlu dilawati sempena TMJ 2020.
Dr Sahruddin memberitahu, menjelang 2020 terdapat dua acara besar untuk dilaksanakan dengan jaya di negeri ini.
“Pertamanya ialah Sukan Malaysia (Sukma) dan kedua ialah TMJ.
“Saya menyeru kepada warga Johor agar dapat mempromosikan destinasi, makanan dan budaya menarik bagi meraih pelancong,” katanya.
Sambutan yang bermula dari jam 5 petang itu menampilkan ramai artis ternama seperti Joe Flizzow, The Couple band, Orkestra Darul Ta’zim dan ramai lagi.
Antara pengisian program melibatkan aktiviti-aktiviti menarik ialah Samba Show, 1st Bas mapping projection show in Malaysia dan majlid ditutup dengan persembahan bunga api untuk memeriahkan suasana.
JohorKini