JOHOR BAHRU, 21 DIS: Sektor swasta, korporat, pemain industri pelancongan dan jabatan kerajaan perlu menjadikan kraftangan buatan Malaysia sebagai pilihan utama untuk dijadikan hadiah cenderamata atau ole-ole buat pelanggan mereka.
Saranan tersebut disuarakan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail, agar langkah tersebut menjadi salah satu komitmen bagi mengangkat seni budaya warisan dan industri kraf tempatan.

Ibrahim menyempurnakan gimik pelancaran majlis pratonton Festival Kraf Johor (FKJ 2019) di Angsana Mall, Johor Bahru
Kata Ibrahim, pelbagai pilihan rekaan unik dan menarik untuk diteliti pemain industri pelancongan dan perhotelan, bagi dijadikan hadiah cenderamata korporat atau ‘ole-ole cenderamata percutian’ untuk pelancong yang berkunjung ke Malaysia pada tahun 2020.
“Kraftangan Malaysia terus giat dalam memastikan kesedaran masyarakat menggunapakai produk kraf tempatan menyeluruh, serta menarik minat dan memberi pelbagai pilihan produk kraf kepada pelancong antarabangsa,” kata Ibrahim pada majlis pratonton Festival Kraf Johor (FKJ 2019) di Angsana Mall disini, semalam.
Kata Ibrahim, FKJ 2019 yang dianjurkan di selama seminggu di Johor Bahru berkonsepkan ‘Hadiah dan Cenderamata’ dan membawa tema ‘Kraf Cenderamata Untuk Semua’ (Craft A Gift For All).

Antara produk jualan dari penghasilan Kompleks Kraftangan Johor
Justeru itu katanya, konsep yang dibawa melalui festival kali ini yang bertujuan mempromosi penghasilan produk kraf akan memberi nilai tambah kepada persediaan Tahun Melawat Malaysia 2020., tahun hadapan.
Tambah Ibrahim penghasilan produk cenderamata pada festival kali ini merangkumi lima bidang kraf utama iaitu tekstil, hasil rimba, hasil tanah, logam dan aneka kraf lain.
“Kerjasama bersama rakan strategik ini turut menyeluruh kepada semua komuniti kraf khususnya di negeri Johor meliputi aspek pemasaran, promosi, hebahan publisiti, sumbangan idea juga tenaga yang mampu dimanfaatkan bersama.
“Besarlah harapan saya agar penganjuran Festival Kraf Johor 2019 dapat memberi manfaat yang menyeluruh kepada semua usahawan-usahawan kraf sekaligus dapat membantu menjana pendapatan yang tinggi.
“Semoga Festival Kraf Johor 2019 juga menjadi destinasi kunjungan utama bagi pelancong domestik dan antarabangsa serta dimanfaatkan oleh masyarakat setempat sempena musim cuti sekolah,” kata Ibrahim lagi.
Festival Kraf Johor 2019 bermula dari 20 hingga 31 Disember 2019 dan bertempat di Angsana Mall, Johor Bahru mensasarkan jualan kraftangan sehingga RM7.5 juta dengan kehadiran pengunjung seramai 135,000 orang.
Johorkini