JOHOR BAHRU, 28 OKT: Kerajaan Johor menggalakkan sektor swasta di negeri ini bekerjasama dengan NGO pertolongan cemas seperti St John Ambulans dan menempatkan alat bantu kecemasan Automated External Defibrillator (AED).

Pemasangan alat bantu kecemasan Automated External Defibrillator (AED) adalah penting terutama di lokasi pelancongan, kata Cai Tung
AED adalah alat perubatan mudah alih yang digunakan untuk membantu mangsa dalam kes serangan jantung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung berkata, dalam masa sama, kursus pengendalian penggunaan peralatan AED perlu turut diadakan.
“AED iaitu alat perubatan mudah alih yang digunakan untuk membantu mangsa dalam kes serangan jantung secara tiba-tiba, seharusnya mudah diakses di tempat-tempat awam tertentu.
“Ini kerana pergolongan cemas mempunyai peranan yang sangat penting dalam membantu menyelamatkan nyawa mereka yang mengalami kecederaan.
“Kerajaan negeri Johor sedang meneliti cara untuk bekerjasama dengan St John Ambulans Malaysia untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mempelajari kaedah rawatan awal terutama dalam insiden serangan jantung,” kata Cai Tung.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan peralatan AED oleh St John Ambulans Malaysia kepada KSL Properties Sdn Bhd sempena Kempen Kesedaran CPR dan AED, disini.
Dalam pada itu kata Cai Tung, selain pemasangan AED, pihak swasta juga perlu dilatih untuk mengendalikan situasi serangan jantung dan kemahiran bantuan pernafasan CPR.
“Ini adalah penting dan selaras dengan usaha kerajaan untuk mempromosikan pelancongan kesihatan negeri Johor.
“Oleh itu, saya menggalakkan sektor swasta dan hospital-hospital swasta untuk juga berkolaborasi dengan St John Ambulans dan menempatkan lebih banyak peralatan AED di tempat awam sebagai salah satu usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” kata Cai Tung lagi.
Johorkini