BM | EN | 中文

Sektor pembuatan di Johor dibenar beroperasi – Exco

cover-covid-johor-01.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 4 SEPT: Aktiviti ekonomi di negeri ini terus dirancakkan dengan kebenaran sektor pembuatan untuk beroperasi mengikut kadar vaksinasi lengkap pekerja.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, kebenaran itu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikemas kini semalam.

“Justeru pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor membenarkan mana-mana sektor industri melibatkan sektor pembuatan untuk beroperasi di seluruh negeri sebagaimana ketetapan dan SOP dikeluarkan MKN.

Advertisement

“Tidak timbul soal menunggu kebenaran beroperasi semula setelah mencapai kadar vaksinasi lengkap 50 peratus populasi dewasa di negeri ini memandangkan 51.5 peratus telah menerima dos kedua mereka,” katanya, lapor Utusan Online.

Ayub berkata, kapasiti pengoperasian yang dibenarkan adalah bergantung kepada kadar vaksinasi lengkap pekerja.

Sebagai contoh, katanya, jika kadar vaksinasi lengkap pekerja adalah 40 peratus, maka syarikat hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus pekerja sahaja.

Advertisement

“Sementara itu, kadar vaksinasi lengkap 60 peratus dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 80 peratus pekerja dan kadar vaksinasi lengkap 80 peratus dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh iaitu 100 peratus,” ujarnya.

Menurutnya, bagi ujian RTK Antigen juga perlu dilaksanakan ke atas pekerja pada setiap dua minggu dengan kos ditanggung pihak majikan.

Beliau berkata, diingatkan juga bahawa individu yang telah lengkap divaksin hanya mereka yang telah memenuhi kriteria-kriteria.

Advertisement

Jelasnya, kriteria itu adalah bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mesti sudah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), beliau berkata, individu berkenaan mesti telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

“Ingin ditegaskan kepada majikan dan pekerja sektor pembuatan ini agar sentiasa mematuhi SOP di tempat kerja dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebelum memulakan semula operasi agar keselamatan pekerja dan tempat kerja terjamin,” katanya.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top