BM | EN | 中文

SEKTOR AGROMAKANAN MEMERLUKAN PELAPIS

dr-wan-azizah.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 28 NOV : Kerajaan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) berhasrat untuk memastikan negara terus membangun dengan mampan melalui pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia melibatkan semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Katanya, ini bagi memastikan supaya rakyat di segenap lapisan masyarakat mendapat taraf hidup yang wajar (decent standard of living).

Advertisement

“Saya yakin jika Kementerian ini berjaya merapatkan jurang pendapatan kumpulan sasarnya supaya setanding dengan sektor lain, Wawasan ini akan boleh dicapai dengan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Angsana Mall, di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, bagi menjayakan Wawasan 2030, sektor agromakanan memerlukan pelapis dan generasi muda yang dapat memberikan suntikan semangat baharu kepada pembangunan sektor ini.

Advertisement

“Merekalah tenaga kerja masa depan negara yang tidak boleh diketepikan untuk kita terus maju ke hadapan dalam semua sektor ekonomi termasuk sektor agromakanan.

“Saya percaya dengan perkembangan teknologi terkini dan jawatan seperti pengurus kebun (farm manager) dan agrologis, ianya akan dapat menonjolkan imej baharu kerjaya dalam sektor agromakanan yang lebih profesional dan bersesuaian dengan era moden ini.

“Sektor ini juga dilihat mampu menjana pendapatan yang lumayan kepada golongan muda setanding atau lebih baik berbanding dengan profesion yang lain,” katanya.

Advertisement

Justeru, beliau berharap HPPNK 2019 akan menjadi platform dalam menarik minat golongan muda khususnya untuk menceburi sektor agromakanan dan menyemai semangat keusahawanan dalam minda mereka.

“Pembangunan usahawan tani sebagai perintis atau pelopor sektor agromakanan perlu seiring dengan perkembangan permintaan sumber bekalan makanan akan datang supaya mereka menjadi pelapis kepada peladang, penternak dan nelayan kita hari ini.

“Pelbagai insentif dan peruntukan telah disediakan untuk menarik lebih ramai agropreneur muda menyertai sektor agromakanan pada masa hadapan.

Advertisement

“Sektor ini juga mampu menjadi kerjaya bagi golongan muda pada masa akan datang,” katanya lagi.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top