BM | EN | 中文

SEKOLAH, INSTITUSI PENDIDIKAN DI JOHOR DIGALAK ANJUR AKTIVITI SEMPENA KEMERDEKAAN

aminolhuda-hassan-parit-yaani-batu-pahat-merdeka-62.jpg
Advertisement

BATU PAHAT, 18 OGOS: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata, institusi pendidikan di begeri ini digalakkan untuk mengadakan sekurang-kurangnya satu program atau aktiviti berkaitan kemerdekaan negara.

Katanya, dengan adanya aktiviti berkenaan ia akan menambahkan lagi semangat kecintaan kepada negara dan dalam masa yang sama aktiviti tersebut perlulah melibatkan semua kaum agar perpaduan dapat diperkukuhkan.

“Saya harapkan bukan sahaja di sekolah rendah atau sekolah kebangsaan diadakan aktiviti berkaitan kemerdekaan dan kecintaan kepada negara ini, malah ia perlulah meliputi peringkat sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi.

Advertisement

“Kita tidak mahu semangat ini hanya dilaksana di peringkat sekolah rendah sahaja tetapi ia diharap terus kekal dalam diri setiap individu itu sehingga ke peringkat yang tertinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Adun Parit Ya’ani berkata, semua sekolah serta institusi pendidikan di negeri ini diharap tidak melepaskan peluang untuk terlibat dalam kemeriahan bulan kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan masing-masing.

Terdahulu, Bernama melaporkan Aminolhuda berkata demikian selepas Majlis Penutupan Kayuhan Kembara Merdeka DUN Parit Ya’ani, Zon Broleh dan Tongkang Pechah, serta Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-62 Kampung Parit Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Soga, di sini.

Advertisement

Mengulas mengenai program kayuhan yang pertama kali diadakan itu, Aminolhuda berkata ia membabitkan perjalanan sejauh 20 kilometer di dua kawasan zon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Ya’ani.

Sebanyak lima sekolah turut terlibat dengan beberapa aktiviti berkaitan kenegaraan, kecintaan kepada negara serta semangat kemerdekaan.

“Saya bersama rombongan kayuhan ini singgah di lima buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rahmat, SK Sri Binjai, SK Bindu, SK Sri Broleh dan berakhir serta majlis penutupannya diadakan di SK Bukit Soga.

Advertisement

“Kita mengadakan pelbagai aktiviti yang turut membabitkan pelajar sekolah dan penduduk setempat di sini, dengan antara aktiviti ialah kibaran Jalur Gemilang, persembahan deklamasi sajak, basikal Merdeka serta pakaian beragam.

“Program ini akan kita teruskan juga di Zon Parit Ya’ani, dalam masa dua minggu lagi selain kita merancang untuk menjadikannya program tahunan di sini, serta pelaksanaan di peringkat negeri akan turut dirancang,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top