BM | EN | 中文

SEJARAH KEMERDEKAAN ADALAH SEJARAH ANAK MUDA

pkmm-api-kongres-kedua-melaka-1946.jpg
Advertisement

(Keterangan gambar: Pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) bergambar selepas kongres kedua pada 25-27 Disember 1946 di Kota Melaka)

Oleh: Sheikh ‘Umar Bagharib Ali

Bulan kemerdekaan adalah saat terbaik untuk merenung dan merayakan sumbangan anak muda dalam sejarah bangsa kita – bangsa Malaysia.

Advertisement

Anak muda merupakan teras kepada kebangkitan nasionalisme di negara ini, namun fakta jarang sekali kita angkat.

Seawal sebelum Perang Dunia ke-2, anak muda telah terlibat secara aktif dalam gerakan nasionalisme dan berperanan besar dalam penubuhan antara parti politik pertama di negara ini.

Kemudian, anak muda juga merupakan aktor penting yang menyemarakkan idea nasionalisme melalui penulisan kreatif dan kewartawanan.

Advertisement

Antara kelompok terawal pastinya Kaum Muda melalui majalah bulanan mereka, Al-Imam, yang merupakan sebuah gerakan politik yang pertama sekali meniupkan semangat nasionalisme.

Tokoh awal Kaum Muda seperti Syeikh Tahir Jalaluddin berusia awal 30-an semasa mula berkhidmat sebagai ‘ulama’ dan menganggotai Ahli Mesyuarat Orang-orang Besar Perak.

Demikian juga dengan Kolej Latihan Sultan Idris boleh dikatakan sebagai antara titik permulaan sejarah kesedaran politik nasional di negara ini.

Advertisement

SITC antara kolej terawal yang mengumpulkan anak muda dari seluruh Semenanjung dan ini telah membantu untuk membenarkan mereka berinteraksi dan saling bertukar pandangan.

Sebuah lagi institusi yang menyumbang kepada gerakan dalam kalangan anak muda ialah Maahad Il- Ehya Assyarif Gunung Semanggul (Miagus) yang memiliki tingkat kesedaran politik yang tinggi.

Sumbangan Miagus ini tidak dapat dipisahkan dengan sejarah penubuhan parti politik paling lama dan berpengaruh dalam sejarah negara kita, parti PAS.

Advertisement

SITC dan Miagus ini mempunyai hubungan dengan Kesatuan Melayu Muda yang digambarkan sebagai parti politik radikal Melayu pertama yang ditubuhkan pada pertengahan tahun 1938. Pada 1940, berdasarkan kajian sejarah, sekumpulan pelajar Miagus menubuhkan nukleus cawangan Kesatuan Melayu Muda (KMM) di utara Perak.

Meskipun pengkaji seperti Rustam Sani umpamanya, beranggapan penglibatan SITC dalam KMM terlalu dilebih-lebihkan, namun dalam masa yang sama, beliau tidak menafikan sumbangan Ibrahim Yaakob dan para graduan lain di SITC dalam mengasaskan KMM.

Khasnya, peranan yang dimainkan oleh Ikatan Pemuda Pelajar yang ditubuhkan pada tahun 1929 oleh Ibrahim Yaakub di SITC.

Advertisement

Penubuhan KMM ini adalah penanda kepada permulaan usaha tersusun untuk menawarkan idea politik radikal dalam kalangan orang Melayu.

Menariknya, pengasas KMM ini adalah golongan muda; Ibrahim Yaakob berusia 27 tahun ketika KMM ditubuhkan, Ishak Haji Muhammad 29 tahun, dan Ahmad Boestamam 18 tahun.

Sumbangan Angkatan Pemuda Insaf (API) juga tidak boleh dikesampingkan. Meskipun API lahir sebagai sayap pemuda Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), namun API pada 1946 telah dipisahkan daripada KMM dan menjadi pertubuhannya yang tersendiri.

Advertisement

Ertinya, API berdiri sebagai sebuah parti politik, bukan hanya sekadar sayap pemuda.

Ahmad Boestamam, selaku Ketua 1 API mendakwa, partinya mempunyai kekuatan yang besar dari kalangan anak muda dan mampu memberi kesan besar terhadap British.

Barangkali mungkin kerana itu API menjadi pertubuhan politik pertama yang diharamkan menjelang Darurat 1948 – dan bukannya Parti Komunis Malaya.

Advertisement

Darurat telah mengubah perjalanan perjuangan politik nasionalis kiri anak muda di Malaya.

Namun sebagaimana dijelaskan oleh pengkaji sejarah seperti Firdaus Abdullah, setidaknya ramai juga pemimpin API yang kemudiannya menjadi tokoh besar dalam politik dan pentadbiran negara.

Akan tetapi Darurat 1948 tidak sepenuhnya mematikan keseluruhan gerakan anak muda.

Advertisement

Ahli politik muda ketika itu yang terselamat daripada ditangkap memilih bentuk perjuangan yang lain, sama ada menyertai PKM melancarkan serangan gerila atau menyertai parti politik konservatif kanan yang tidak diharamkan oleh British – Umno.

Namun, tahun 1948 juga menyaksikan tahun permulaan kesusasteraan Melayu moden.

Rupa-rupanya, Darurat 1948 bukan sahaja gagal memadamkan apa semangat nasionalisme, sebaliknya telah memarakkan pula tumpuan sebahagian anak muda kepada sastera.

Advertisement

Kira-kira 20 orang penulis muda antaranya Keris Mas, Mohd Arif Ahmad (MAS), Asraf, Hamzah, Rosmera, dan Jymy Asmara yang ada kaitannya dengan badan-badan politik kiri yang diharamkan termasuk PKMM telah berjumpa, bermuafakat dan kemudiannya menubuhkan Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) di Singapura.

Tujuannya adalah untuk menjadikan sastera sebagai alat yang dapat memberi guna bagi memajukan fikiran rakyat, sesuai dengan cita-cita keadilan masyarakat, kemakmuran, keamanan dan pendamaian.

Bayangkan, Tongkat Warrant (Usman Awang), hanya berusia 19 tahun, Keris Mas 26, dan Asraf yang juga sekitar 20-an, hanya Awam-il-Sarkam yang sedikit berusia, 32 tahun ketika mereka menggagaskan pemikiran besar ini pada tahun 1948.

Advertisement

Sememangnya anak muda amat aktif dalam melibatkan diri dalam politik di negara ini, baik dalam parti politik, mahupun di luar parti politik.

Mereka bukan sahaja berperanan sebagai pengikut atau ahli pertubuhan semata-mata, malah mereka merupakan pengasas dan peneraju utama sesebuah gerakan.

Sebagaimana yang diperlihatkan juga, setiap daripada kelompok ini mempunyai hubungan antara satu sama lain.

Advertisement

Sejak KMM dan PKMM, API, Asas 50 dan gerakan mahasiswa kemudiannya, pasti akan ada individu yang saling terkait.

Ertinya sentiasa terdapat kesinambungan generasi dan idea.

Anak muda harus melihat kepentingan sejarah ini dalam melihat diri mereka kini. Sejarah mampu menawarkan kita jawapan kepada suara-suara sumbang yang mempersoalkan kemampuan anakmuda untuk terlibat dalam politik dan membuat keputusan yang bijak untuk negara ini.

Advertisement

Sejarah ini tidak statik dan harus sentiasa dikaji dan dikembangkan. Misalnya dalam gerakan nasionalisme ini, kajian-kajian mengenai sumbangan perempuan, bukan Melayu, Sabah dan Sarawak, serta juga kesatuan buruh agak kurang diangkat.

Barangkali dengan melihat kepada sejarah ini kembali dengan kaca mata berbeza, kita akan mendapat pengalaman dan pengajaran baharu.

Buat anak muda sekalian, selamat hari kemerdekaan dan marilah kita berterima kasih kepada anak muda semua bangsa yang telah berjuang sebelum kita.

Advertisement

Sheikh ‘Umar Bagharib Ali ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh merangkap Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top