BM | EN | 中文

Sehingga Mei, 533 individu terlibat judi dalam talian ditahan di Johor

533-individu-terlibat-judi-dalam-talian-ditahan-di-Johor.jpg

Gambar Ehsan Bernama

Advertisement

JOHOR BAHRU, 4 JUN: Polis Johor menahan seramai 533 individu menerusi 307 serbuan di negeri ini yang dipercayai terlibat dengan aktiviti judi dalam talian, sejak Januari sehingga akhir bulan lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua mereka melibatkan 318 penjaga premis dan 215 pemain judi selain 522 telefon bimbit, 20 tablet, satu komputer riba, satu komputer serta wang tunai berjumlah RM99,560 turut dirampas.

“Polis Johor telah melancarkan operasi terancang terhadap kesemua jenis perjudian khususnya judi dalam talian ini. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga, didapati aktiviti judi dalam talian masih beroperasi secara bersembunyi,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Advertisement

Ayob Khan berkata sejak 1 hingga 31 Mei lepas, polis Johor menerusi Bahagian Pencegahan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian, Jabatan Siasatan Jenayah menahan 57 individu menerusi 25 serbuan di negeri ini yang dipercayai terlibat dengan aktiviti judi dalam talian.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 59 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM14,827 menerusi serbuan berkenaan.

Kesemua individu itu sedang disiasat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Advertisement

Ayob Khan berkata sejak Januari sehingga bulan lepas juga, pihaknya turut menyerbu 10 premis yang digunakan sebagai ‘calling centre’ (pusat panggilan) judi dalam talian dan menahan 118 individu selain merampas 301 telefon bimbit, 26 komputer riba, 41 komputer serta wang tunai RM60,000.

Katanya, seramai 44 individu telah dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 pada tempoh itu, yang merangkumi 13 lelaki dan dua wanita tempatan serta 26 lelaki dan tiga wanita warga asing berumur lingkungan 20 dan 37 tahun.

“Lapan daripada mereka dikenakan tindakan pengawasan manakala 36 yang lain dikenakan tindakan tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam dekat Kluang,” katanya.

Advertisement

Menurut Ayob Khan, pihaknya akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dengan kegiatan judi dalam talian dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254074.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top