PONTIAN, 10 MAC: Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong menyampaikan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bertindak pantas membaiki kerosakan infrastruktur awam dalam kawasan DUN itu.
Menurut Yeo, tiang lampu jalan yang condong di jalan Pekan Nanas-Ulu Pulai bakal mengakibatkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya yang menggunakan jalan tersebut setiap hari.
“Pejabat saya telah mendapat aduan daripada penduduk berkenaan tiang lampu di jalan menghala ke Ulu Pulai yang hampir tumbang.
“Pasukan saya telah membuat aduan kepada pihak JKR pada hari yang sama aduan diterima.
“Tindakan pantas pihak JKR membaik pulih kerosakan tersebut amatlah saya hargai. Terima kasih JKR,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Dalam perkembangan lain, Yeo yang telah mengambil suntikan vaksin Covid-19 menggalakkan orang ramai mendaftarkan diri dalam program imunisasi kebangsaan bagi melindungi diri dan orang ramai.
Katanya program vaksinasi adalah penting dalam usaha untuk melawan Covid-19.
“Saya tahu ada di kalangan anda yang berasa takut untuk mengambil vaksin. Tak mengapa. Saya melangkah ke hadapan untuk divaksin dahulu sebagai bukti untuk anda semua bahawasanya vaksin ini selamat.
“Setiap orang tidak sama, memang dikatakan ada kesan sampingan yang bersifat sementara. Tidak perlu takut, tak perlu risau. Kita buat semua ini untuk melindungi yang lain.
“Daftarkan diri anda untuk divaksinkan di aplikasi MySejahtera, atau bagi penduduk di kawasan DUN Pekan Nanas, anda boleh hadir ke pejabat saya untuk didaftarkan,” ujarnya lagi.
Johorkini