ISKANDAR PUTERI, 3 DIS: Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung mencadangkan kerajaan negeri melatih pemandu pelancong agar dibekalkan dengan pengetahuan mengenai lokasi-lokasi menarik di setiap daerah.
Beliau dalam perbahasan Belanjawan Johor 2021 berkata, selain diberikan bantuan secara ‘one-off’, sekarang adalah masa untuk memberi kursus lanjutan kepada pemandu pelancong agar dapat mengukuhkan lagi ilmu pengetahuan.
“Kita bukan sahaja perlu lihat dari segi soft-skill seperti promosi sahaja. Kita perlu lihat kepada kekurangan infrastruktur sedia ada atau masalah yang dihadapi tetapi tidak selesai selama ini.
“Kursus atau latihan disediakan oleh pihak kerajaan dan buka kepada semua pemandu pelancong sedia ada atau mereka yang berminat secara
percuma.
“Ini masa bagi mereka untuk meningkatkan ilmu pengetahuan diri. Ini masanya untuk menambahbaik supaya kita bersedia untuk menerima pelancong pada masa akan datang.
“Johor mempunyai sepuluh daerah, setiap daerah mempunyai daya tarikan yang unik masing-masing. Johor memang berpotensi sekiranya kita bersiap sedia,” kata Cai Tung yang juga bekas Exco Pelancongan.
Tambahnya lagi, trend pelancongan turut berubah, kerana pelancong bukan sahaja berkunjung ke taman tema besar, tetapi lebih kepada sejarah dan cerita yang unik yang ada di setiap tempat.
Tambah beliau, ‘gelembung pelancongan’ antara Malaysia dan Singapura perlu dimulakan melalui perbincangan dan diaktifkan serta merta apabila keadaan kedua-dua negara bertambah stabil supaya ekonomi Johor Bahru dapat dipulihkan segera
Katanya, persepsi rakyat mengenai pelancongan domestik boleh diubah sekiranya ada usaha penambahbaikan dari sudut segi ‘soft-skill’.
“Pada zaman digital dan media sosial, segala keputusan rakyat untuk memilih sebuah destinasi melancong boleh dipengaruhi melalui media sosial.
Dalam pada itu beliau turut memuji inisiatif pihak Tourism Johor dengan usaha penambahbaikan yang dilakukan melalui media sosial.
“Ini adalah hasil yang baik dan usaha kita yang menekankan kepentingan promosi di platform media sosial selama ini,” katanya lagi.
Johorkini